KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 55 daripada 70 projek yang menyertai Pertandingan Inovasi dan TVET Innovation, Modernization and Productivity Advancement for Community Transformation (IMPACT) 2026 Peringkat Sarawak berjaya mara ke peringkat akhir.
Daripada jumlah itu, 16 projek melibatkan penyertaan sekolah menengah, manakala 39 lagi daripada institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi latihan kemahiran (ILK) di seluruh Sarawak.
Pengarah ADTEC JTM Kampus Kota Samarahan, Mohd Yasir Aziz berkata, jumlah penyertaan itu mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap IMPACT 2026 yang kini memasuki tahun kedua penganjurannya di peringkat negeri.
Menurut beliau, IMPACT pada asalnya merupakan pertandingan inovasi dan kreativiti dalaman ADTEC JTM Kampus Kota Samarahan sebelum diperluaskan ke peringkat negeri pada 2025 dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak.
“Pada tahun ini, kita berbangga kerana IMPACT 2026 merupakan penganjuran peringkat negeri kali kedua.
“Daripada sebuah pertandingan dalaman kampus, IMPACT telah berkembang menjadi platform yang menghimpunkan idea, kreativiti, bakat dan inovasi generasi muda dari seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa IMPACT 2026 Peringkat Sarawak di ADTEC JTM Kampus Kota Samarahan di sini pada Rabu.
Mohd Yasir berkata, setiap projek yang berjaya ke peringkat akhir melalui proses pembangunan yang melibatkan usaha, percubaan dan penambahbaikan oleh peserta dengan bimbingan guru, pensyarah serta pembimbing masing-masing.
Jelas beliau, IMPACT bukan sekadar pertandingan, sebaliknya menjadi platform kepada generasi muda untuk menguji idea, menyelesaikan masalah serta menghasilkan inovasi yang mampu memberi nilai dan manfaat kepada masyarakat.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Adana Jed, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Sathi Saravana Subramaniam serta tetamu lain. –EDISI UKAS