IMPACT 2026: Kerjasama Industri Perkasa Pembangunan Bakat TVET Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Kerjasama strategik antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan sektor industri terus diperkukuh bagi melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan pasaran masa hadapan.
Usaha itu diterjemahkan menerusi penyerahan Memorandum Kerjasama (MoC) dan Surat Niat (LoI) antara Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) JTM Kampus Kota Samarahan dengan rakan industri sempena Pertandingan Inovasi dan TVET Innovation, Modernization and Productivity Advancement for Community Transformation (IMPACT) 2026 Peringkat Sarawak pada Rabu.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penambahbaikan kurikulum TVET secara berterusan penting bagi memastikan pembangunan bakat kekal relevan dengan perubahan teknologi dan keperluan industri.
“Langkah menyerapkan elemen baharu seperti kecerdasan buatan (AI), sains data, pembelajaran mesin dan automasi dalam latihan TVET memastikan anak-anak Sarawak bukan sahaja bersedia mendepani perubahan, malah berupaya memacu pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Adana Jed semasa Majlis Penutupan IMPACT 2026 Peringkat Sarawak di ADTEC JTM Kampus Kota Samarahan di sini.
Dato Sri Roland menambah, kementeriannya turut memberi tumpuan kepada inisiatif TalentPath Sarawak 2026 menerusi pendekatan *Train and Place* bagi merapatkan jurang kemahiran antara latihan yang diterima dengan keperluan sebenar industri.
Menurut beliau, kerjasama erat antara institusi pendidikan, pusat latihan dan sektor industri penting bagi memastikan bakat tempatan dilengkapi kemahiran yang relevan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Mengenai IMPACT 2026, beliau menyifatkan pertandingan itu sebagai wadah penting dalam memupuk budaya inovasi dan pemikiran kritis, selain mencungkil potensi serta kreativiti generasi muda di Sarawak.
Pada majlis itu, penyerahan dokumen MoC dan LoI disempurnakan Pengarah ADTEC JTM Kampus Kota Samarahan, Mohd Yasir Aziz dan disaksikan Datu Adana serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Sathi Saravana Subramaniam.
Datu Adana turut menyempurnakan penyampaian hadiah berupa piala, wang tunai dan sijil kepada pemenang IMPACT 2026. –EDISI UKAS