SIE 2026 Ketengahkan Potensi Alam, Budaya Ulu Entabai
SIBU: Keunikan alam semula jadi dan warisan budaya masyarakat pedalaman bakal diketengahkan menerusi penganjuran Sarawak Interior Experience (SIE) – Edisi Ulu Entabai 2026 pada 24 dan 25 Oktober ini.
Program yang berlangsung di Rumah Panjang Sang, Ulu Entabai itu memberi tumpuan kepada pengalaman meneroka alam, mengenali warisan budaya serta berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti sepanjang dua hari satu malam.
Antara pengisian utama ialah konvoi pacuan empat roda (4x4) sejauh kira-kira 140 kilometer dari Sibu ke Ulu Entabai, melalui Petronas Lanang dan pusat pemeriksaan di Pakan sebelum peserta tiba di Rumah Panjang Sang.
Perjalanan berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira dua jam 40 minit dan disusuli cabaran kembara 4x4 serta aktiviti trekking melalui laluan hutan dan kebun komuniti tempatan.
Pengalaman warisan pula diketengahkan menerusi Main Adat Asal Iban, jamuan komuniti, Randau Ruai yang menampilkan penceritaan tradisi serta pameran Gerai Warisan.
Program anjuran PRM 4x4 dan Koperasi Bintang Tujuh Sarawak Berhad dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu turut merangkumi khidmat jangkauan kesihatan dan saringan asas secara percuma kepada penduduk tempatan.
Pada sebelah malam, peserta akan menyertai acara ‘Concert Under the Stars’ yang menampilkan artis tempatan termasuk Melissa Francis, Depha Masterpiece, Rock Empayar, Leez Zwita dan DJ Vaux, selain aktiviti perkhemahan.
Penganjuran SIE 2026 di Ulu Entabai menyediakan ruang kepada peserta mengenali dengan lebih dekat kehidupan, alam semula jadi dan warisan masyarakat pedalaman Sarawak menerusi pengalaman secara langsung bersama komuniti setempat.-EDISI UKAS