SPAOH: Pelbagai projek strategik meliputi infrastruktur, kesihatan, pertanian, ekonomi dan kemudahan awam terus dilaksanakan bagi memperkukuh pembangunan serta meningkatkan akses kepada kemudahan dan peluang ekonomi masyarakat di Bukit Saban.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembangunan di Bukit Saban akan terus diberi perhatian meskipun pelbagai projek telah dilaksanakan dan manfaatnya mula dirasai masyarakat.
Menurut beliau, masih terdapat pelbagai keperluan pembangunan yang perlu diberi tumpuan bagi memastikan Bukit Saban terus berkembang seiring dengan hala tuju pembangunan Kerajaan Sarawak.
“Pelbagai pembangunan yang telah dirasai dan dilihat oleh kita di Bukit Saban sepanjang Premier Sarawak mengetuai pentadbiran kerajaan negeri ini.”
“Walaupun pelbagai pembangunan berjaya dilaksanakan, kita tidak akan berhenti kerana masih banyak pembangunan yang akan dirancang,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata demikian ketika menyempurnakan sesi Pembentangan Dashboard Pencapaian Lima Tahun (2022-2026) Kerajaan Sarawak bagi kawasan Bukit Saban sempena Program Perjumpaan Bersama Ketua Cawangan dan AJK Ranting Bapa, Wanita, Pemuda dan Belia Cawangan PBB Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini, pada Rabu.
Antara projek yang dibentangkan ialah STOLport Bebuling, Agropark Bebuling dan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling yang menyokong pembangunan sektor pertanian serta aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.
Turut diberi perhatian ialah pembangunan Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok serta beberapa projek infrastruktur dan kemudahan awam termasuk Pusat Hemodialisis Spaoh, Bina Baharu Klinik Kesihatan Spaoh, naik taraf jalan di kawasan Bukit Saban, Kompleks Sukan Spaoh dan Jambatan Sungai Paku, Spaoh.
Datuk Amar Douglas berkata, rangkaian pembangunan berkenaan penting bagi memastikan Bukit Saban terus mendapat manfaat daripada pelaksanaan Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 yang menjadi landasan Sarawak ke arah mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Dalam aspek pendidikan, beliau berkata masa depan generasi muda turut menjadi keutamaan menerusi pelbagai bentuk bantuan pendidikan bagi membantu mereka membuat persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan.
Katanya, usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat turut diteruskan melalui pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Kenyalang Gold Card dan Senior Citizen Health Benefit (SCHB).
Sehubungan itu, Datuk Amar Douglas menyeru masyarakat Bukit Saban agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan peluang yang disediakan menerusi pelbagai inisiatif pembangunan kerajaan, di samping terus menyokong kesinambungan agenda pembangunan kawasan berkenaan.
Turut hadir, Setiausaha Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Susan Chemerai Anding, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong, Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah dan Setiausaha PBB Cawangan Bukit Saban, Martin Ngindang.-EDISI UKAS