Belanjawan 2027: Peluang Ekonomi, Infrastruktur Jadi Harapan Rakyat
KUCHING: Peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, kesalinghubungan serta usaha menangani kos sara hidup antara harapan rakyat Sarawak yang mahu perkara berkenaan terus diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.
Harapan itu disuarakan menerusi tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semasa Malam Gala 2nd Borneo Economic Forum pada Rabu.
Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Jona Kerani berkata, tumpuan perlu diberikan kepada isu kos sara hidup, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan penduduk luar bandar.
Menurut beliau, Belanjawan 2027 juga perlu mengambil kira keluasan Sarawak dengan meneruskan pembangunan infrastruktur dan kesalinghubungan bagi memastikan penduduk luar bandar turut menikmati peluang serta kemudahan yang setara.
“Bagi saya, isu kos sara hidup sangat penting, khususnya bagi penduduk luar bandar. Saya berharap Belanjawan 2027 dapat menyediakan lebih banyak ruang dan subsidi untuk membantu golongan B40.”
“Pada masa sama, pembangunan infrastruktur dan kesalinghubungan perlu diteruskan supaya rakyat di seluruh Sarawak dapat menikmati manfaat pembangunan,” katanya.
Jona turut berharap kemudahan pendidikan dan kesihatan termasuk sekolah serta klinik di kawasan luar bandar diberikan perhatian sewajarnya.
Katanya, kesalinghubungan digital juga penting bagi merapatkan jurang antara kawasan luar bandar dan bandar, terutama ketika masyarakat semakin bergantung kepada ekonomi digital untuk urusan pemasaran, pembayaran dan tempahan dalam talian.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak, Dr Intan Rahmah Mohd Tazuddin berkata, peluang pekerjaan untuk golongan muda, khususnya lepasan universiti, perlu terus diberi perhatian.
Menurut beliau, inisiatif pendidikan tinggi percuma serta usaha mewujudkan institusi pendidikan bertaraf antarabangsa perlu disusuli dengan lebih banyak peluang pekerjaan dan kemasukan pelaburan.
“Saya berharap lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk golongan muda yang baru keluar dari universiti.
“Langkah seterusnya ialah menarik lebih banyak pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan supaya golongan muda Sarawak mempunyai ruang untuk membina kerjaya di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara pihak berkepentingan menerusi forum ekonomi dan pelaburan juga diharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta pembangunan kerjaya untuk anak muda Sarawak.
Dalam pada itu, Dr Intan Rahmah turut mencadangkan aspek penjagaan selepas sekolah dipertimbangkan sebagai antara bentuk sokongan kepada keluarga, khususnya isi rumah yang mempunyai ibu bapa bekerja.
Katanya, perkhidmatan penjagaan selepas sekolah yang selamat dan berkualiti termasuk menerusi pendekatan berasaskan komuniti dapat menyediakan persekitaran lebih baik kepada kanak-kanak selepas tamat waktu persekolahan.
Menurut beliau, pendidikan juga perlu terus menjadi keutamaan sebagai asas membangunkan pengetahuan dan kemahiran generasi muda untuk mendapatkan pekerjaan, menjana pendapatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi.-EDISI UKAS