KUCHING: Sarawak menyasarkan tahap sara diri (SSL) beras sebanyak 60 peratus menjelang 2030.
Ini bagi memperkukuh sekuriti makanan negeri itu dalam menghadapi kemungkinan gangguan bekalan dari negara pengeksport beras utama.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ketika ini Sarawak hanya menghasilkan kira-kira 21 peratus daripada keperluan berasnya sendiri.
Menurut beliau, usaha mencapai sasaran tersebut memerlukan pendekatan bersepadu menerusi penyelidikan, inovasi dan penggunaan teknologi moden yang disesuaikan dengan keadaan tempatan.
“Untuk mencapai sasaran ini, kita perlu memberi tumpuan kepada pembangunan varieti tanaman berhasil tinggi, formulasi baja yang lebih cekap, kaedah kawalan perosak mesra alam serta penggunaan jentera yang sesuai dengan keadaan sawah tempatan.
“Kita juga perlu mengintegrasikan teknologi canggih termasuk dron pertanian, peranti Internet of Things (IoT) dan sensor ladang,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menterinya, Datuk Martin Ben semasa Majlis Penutupan Second Sarawak Rice Conference 2026 pada Rabu.
Dalam masa sama katanya, Sarawak perlu mengamalkan pendekatan lebih lestari bagi mengurangkan kesan alam sekitar daripada penanaman padi sawah, termasuk menerusi teknik Alternate Wetting and Drying (AWD), pengairan pintar serta pemantauan berasaskan sensor.
“Kejayaan mencapai sasaran SSL turut bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan, institusi penyelidikan, akademik dan sektor swasta,” tambahnya.
Sehubungan itu, pembangunan varieti padi yang tahan terhadap kemarau, haba melampau, banjir dan kemasinan tanah perlu diberi keutamaan, khususnya mengambil kira kawasan tanah rendah, mudah banjir dan tanah gambut yang luas di Sarawak.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Sirai Daha, Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chunggat, Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak Prof. Dr Firdaus Abdullah serta tetamu lain.-EDISI UKAS