Setiausaha Kerajaan Sarawak Terima Kunjungan Hormat Ketua Pengarah AKPS
KUCHING: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu.
Kunjungan tersebut merupakan kunjungan hormat pertama Dato’ Sri Mohd Shuhaily kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak sejak dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 1 Julai 2025.
Beliau hadir bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Mohd Nasaruddin M. Nasir, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa, Norhisham Kamarudin, Komander Pintu Masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Pius Inggong serta Komander Pintu Masuk Pelabuhan Senari, Abang Mat Noor Abang Abdul Samat.
Selepas sesi kunjungan hormat, pertemuan diteruskan dengan mesyuarat selama kira-kira satu jam bagi membincangkan perkara berkaitan keselamatan sempadan, pengurusan imigresen serta penyelarasan operasi di pintu-pintu masuk utama Sarawak.
Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh, Richard Lon serta Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Abdul Wahab Rahim. - EDISI UKAS