Pemain Antarabangsa Utama Intai Peluang Pelaburan Di Sarawak
KUCHING: Satu pemain antarabangsa utama yang mempunyai kedudukan kukuh di peringkat global kini sedang meninjau peluang pelaburan di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, syarikat berkenaan bukan pemain kecil, malah mempunyai kedudukan tinggi dalam senarai Forbes dan mempunyai pengaruh kukuh di peringkat global.
Bagaimanapun, beliau berkata identiti serta butiran pelaburan syarikat berkenaan masih belum boleh didedahkan pada ketika ini.
“Tidak boleh didedahkan lagi, tetapi ada pemain antarabangsa utama yang kini melihat Sarawak.
“Dalam dua minggu akan datang, ada yang akan datang melihat Sarawak dan ia bukan syarikat kecil,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Malam Penghargaan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili yang akan bersara pada 31 Oktober ini, di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, perkembangan itu menunjukkan potensi Sarawak sebagai destinasi pelaburan semakin mendapat perhatian pemain industri antarabangsa, khususnya susulan transformasi sektor tenaga yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri.
Jelas beliau, perubahan keperluan tenaga global yang semakin memberi tumpuan kepada sumber tenaga bersih turut membuka peluang kepada Sarawak untuk memanfaatkan sumber tenaga boleh baharu dan gas yang dimiliki negeri ini.
“Seluruh landskap ekonomi sudah berubah kerana mereka memerlukan tenaga hijau, dan jika bukan tenaga hijau, tenaga biru. Sebab itu kita sedang berunding dan bersedia untuk memanfaatkan rizab gas yang kita ada,” jelas beliau lagi.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Energy SEB, Bakal Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Dato Ruslan Abdul Ghani serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS