Kehamilan Remaja Sarawak Turun 11.5 Peratus, Lepasi KPI Negeri
ASAJAYA: Kerajaan Sarawak berjaya melepasi sasaran Indikator Prestasi Utama (KPI) negeri dalam menangani isu kehamilan remaja apabila mencatatkan penurunan kes sebanyak 11.5 peratus tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian tersebut mengatasi sasaran tahunan kerajaan negeri yang menetapkan pengurangan sekurang-kurangnya 10 peratus kes berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan usaha intervensi sosial yang dilaksanakan secara berterusan memberi hasil positif dalam menangani isu berkenaan.
“Walaupun statistik menunjukkan penurunan kes yang ketara khususnya dalam kalangan pelajar sekolah, usaha ini tidak harus terhenti di sini. Kerajaan Negeri komited untuk memastikan program kesedaran ini terus diperkasakan,” katanya
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Residen Bahagian Samarahan, Irwan Bahari Bujang sempena perasmian program berkenaan di SMK Hajah Laila Taib (HALATA), di sini pada Khamis.
Menurut beliau, pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan pelaksanaan pelbagai siri program intervensi sosial termasuk Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) oleh Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KWKPK) dengan kerjasama pelbagai agensi.
Beliau berkata, pelaksanaan Program KAPS tahun ini bukan sahaja diteruskan di peringkat sekolah rendah dan menengah, malah diperluaskan ke peringkat komuniti menerusi KAPS Komuniti bagi memastikan mesej pencegahan dapat disampaikan dengan lebih menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendidikan kesihatan seksual perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat dan ibu bapa bagi memastikan remaja memahami batasan diri, tanggungjawab serta risiko hubungan tidak sihat.
“Pendidikan ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada remaja tentang batasan diri, tanggungjawab, serta risiko hubungan tidak sihat. Di samping itu, masyarakat perlu mengikis sikap hanya menyalahkan pihak wanita semata-mata kerana tanggungjawab pencegahan dan perlakuan ini melibatkan kedua-dua belah pihak,” katanya.
Beliau turut menyeru ibu bapa supaya sentiasa membina hubungan rapat dengan anak-anak, mengamalkan sikap terbuka serta memantau tingkah laku mereka dengan penuh kasih sayang.
Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Pengetua SMK Hajah Laila Taib, Syed Ishak Syed Manan, Ketua Polis Bahagian Samarahan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Mohd Radzi, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali dan Temenggung Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Chek Bujang. -EDISI UKAS