Operasi Pembenihan Awan Siri 4/2026 Sarawak Bermula
KUCHING: Operasi Pembenihan Awan Siri 4/2026 Sarawak yang bermula hari ini hingga Sabtu akan memfokuskan kepada pembenihan awan di kawasan empangan utama Sarawak mengikut dua zon yang ditetapkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Fenomena El Nino menyebabkan beberapa empangan seperti Empangan Bakun, Murum, Bengoh dan Batang Ai memerlukan takungan air hujan yang mencukupi bagi memastikan paras air tidak berada dalam keadaan kritikal.
Penerbangan pada hari pertama memfokuskan kepada Zon A iaitu kawasan empangan di Belaga melibatkan Bakun dan Murum serta empangan di kawasan Bintulu iaitu Sika dan Assyakirin.
Selain itu, penerbangan turut bergerak ke Zon B iaitu Empangan Batang Ai dan Bengoh bagi menjalankan tinjauan sebagai persediaan operasi pembenihan awan pada keesokan hari.
Difahamkan, operasi pembenihan awan tidak dilaksanakan di Zon B terlebih dahulu kerana terdapat kemungkinan pembenihan awan memasuki ruang udara Kalimantan, Indonesia.
Justeru, operasi di Zon B pada hari berikutnya akan mengambil kira hasil tinjauan yang dilaksanakan pada hari pertama.
Penerbangan operasi dijadualkan dilaksanakan sekitar jam 1 hingga 3 petang berdasarkan data Jumlah Air Boleh Wasap daripada METMalaysia.
Dalam pada itu, operasi pada hari ini bermula dengan proses pembancuhan garam dalam empat tangki air yang berkapasiti 1,500 liter keempat-empatnya sebelum bahan berkenaan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM.
Seterusnya, METMalaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengadakan taklimat operasi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pembenihan awan sepanjang tiga hari bermula 8 hingga 10 Oktober.
Operasi tersebut turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), METMalaysia, Sarawak Water, Sarawak Energy Berhad (SEB), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). -EDISI UKAS