Empangan Melata Simuti Berpotensi Perkukuh Bekalan Air Kawasan Sekitarnya
PADAWAN: Cadangan pembangunan empangan melata di Kampung Simuti berpotensi memperkukuh sistem bekalan air terawat dan penjanaan tenaga elektrik bagi kawasan sekitar, khususnya melibatkan kawasan sekitarnya iaitu Simuti, Sibakar, Sibuang dan Sadir.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, kawasan tadahan air di Kampung Simuti berpotensi untuk dibangunkan bagi menyokong keperluan bekalan air dan tenaga melalui projek Acute System.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak ke kawasan cadangan pembinaan Cascading Dam di Kampung Simuti, di sini pada Khamis.
Menurutnya, cadangan pembangunan tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada penjanaan tenaga elektrik, malah berpotensi menyokong penyediaan bekalan air terawat yang lebih baik kepada penduduk di kawasan 4S.
Selain bekalan air dan tenaga, kawasan sekitar Kampung Simuti turut mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan berikutan keindahan alam semula jadi serta sumber semula jadi yang terdapat di kawasan berkenaan. -EDISI UKAS