Borneo Grid Buka Laluan Sarawak Ke Pasaran Tenaga ASEAN
KUCHING: Pembangunan Borneo Grid membuka laluan kepada Sarawak untuk memperluas perdagangan tenaga ke pasaran ASEAN, susulan hubungan elektrik rentas sempadan yang semakin berkembang dengan Kalimantan, Sabah dan bakal diperluas ke Brunei Darussalam.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha membangunkan Borneo Grid kini semakin nyata berikutan Sarawak Energy Berhad (SEB) telah membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan, Indonesia, manakala hubungan dengan Sabah juga telah direalisasikan.
Malah dedah beliau, Sarawak turut mengadakan perbincangan bersama Kalimantan dan Brunei mengenai pembangunan Borneo Grid, yang seterusnya boleh menjadi asas kepada penyertaan lebih luas dalam ASEAN Power Grid.
“Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim sebenarnya sudah berbincang dengan kita untuk melihat kemungkinan interkoneksi di seluruh ASEAN, khususnya bahagian selatan.
“Bahagian lain pula dari Laos hingga ke Thailand, melalui Thailand ke Singapura, dan kita bersedia untuk dihubungkan dengan Singapura serta Semenanjung Malaysia,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Malam Penghargaan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili yang akan bersara pada 31 Oktober ini, di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan, perkembangan jaringan interkoneksi berkenaan penting kerana tenaga boleh menjadi satu komoditi yang diniagakan merentasi sempadan, sekali gus membuka sumber pendapatan baharu kepada Sarawak.
Jelas beliau lagi, keupayaan Sarawak menjadi pembekal tenaga kepada pasaran serantau juga berpotensi menarik pelaburan berkualiti tinggi serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan bergaji tinggi.
“Kalau kita menjadi pembekal tenaga, kita boleh menarik pelaburan berkualiti tinggi yang menghasilkan pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi.
“Pada masa yang sama, kita mempunyai aliran hasil daripada interkoneksi,” ujar beliau lagi.
Menurut Premier Sarawak, kedudukan strategik Sarawak di tengah-tengah ASEAN memberi kelebihan kepada negeri ini untuk memainkan peranan lebih besar dalam perdagangan tenaga serantau.
Usaha berkenaan turut selari dengan sasaran Sarawak meningkatkan kapasiti pengeluaran tenaga kepada 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035, dengan lebihan kapasiti berpotensi disalurkan ke pasaran luar. -EDISI UKAS