KUCHING: Tanjung Embang bakal diperkasa sebagai hab gas Sarawak di bawah ‘Sarawak Gas Roadmap’, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk menarik pelaburan dalam sektor tenaga dan industri berkaitan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan hab gas di Tanjung Embang merupakan antara langkah kerajaan negeri untuk memanfaatkan sepenuhnya rizab gas yang dimiliki Sarawak sebagai sebahagian daripada campuran tenaga negeri.
Jelas beliau, gas akan menjadi antara sumber tenaga yang diberi perhatian selain tenaga hidro, solar dan biojisim bagi memenuhi keperluan tenaga serta menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Kita sedang berunding dan membuat persediaan untuk memanfaatkan rizab gas yang kita ada.
“Kita bangunkan Tanjung Embang dan sebahagian daripadanya ialah hab gas di Tanjung Embang,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Malam Penghargaan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili yang akan bersara pada 31 Oktober ini, di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu pembangunan Tanjung Embang turut disokong dengan peningkatan infrastruktur jalan raya termasuk jambatan yang baharu dibuka bagi menyediakan rangkaian perhubungan yang lebih baik ke kawasan berkenaan.
Menurutnya, pembangunan ekosistem gas berkenaan dijangka membuka peluang kepada kemasukan pelaburan serta cadangan projek baharu ke Sarawak.
“Seluruh kawasan itu akan dibangunkan sebagai kawasan gas di bawah Sarawak Gas Roadmap.
“Sebab itu kita melihat gas sebagai satu lagi sumber tenaga dan ini akan membawa pelaburan serta cadangan pelaburan ke Sarawak,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS