Sarawak Perkukuh Usaha Menerangi Kawasan Luar Bandar Menerusi ALAF Fasa 5
KUCHING: Sarawak bakal memperkukuh usaha memastikan kawasan luar bandar negeri ini menikmati akses bekalan elektrik menerusi pelaksanaan Projek Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) Fasa 5 yang akan dimulakan selepas Fasa 4 mencapai penghujung pelaksanaannya.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kesinambungan pelaksanaan ALAF penting bagi memastikan usaha menyediakan bekalan elektrik kepada masyarakat luar bandar dapat diteruskan secara berperingkat.
Jelas beliau, pelaksanaan Fasa 5 akan menjadi antara langkah penting dalam memperluas akses elektrik, selaras dengan keperluan pembangunan Sarawak yang semakin meningkat.
“Kita kini berada di penghujung Fasa 4 pelaksanaan ALAF dan kita akan memasuki Fasa 5.
“Saya percaya Dato Ruslan akan meneruskan kerja baik yang dilaksanakan Datuk Sharbini dan pasukan di Sarawak Energy,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Malam Penghargaan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili yang akan bersara pada 31 Oktober ini, di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.
Hadir menyerikan majlis berkenaan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Jelas beliau lagi, usaha menerangi kawasan luar bandar perlu terus diberi perhatian memandangkan Sarawak mempunyai kawasan penempatan yang luas dan penduduk yang tinggal di pelbagai lokasi termasuk kawasan pedalaman serta sepanjang pesisir negeri.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi turut menambah, selain memperluas akses elektrik, SEB juga sedang melaksanakan kerja pengukuhan rangkaian di seluruh negeri bagi meningkatkan kebolehpercayaan dan kestabilan sistem bekalan elektrik.
Katanya, kedua-dua usaha itu penting untuk memastikan infrastruktur tenaga Sarawak mampu memenuhi keperluan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi serta perkembangan industri negeri.
“SEB bukan sahaja perlu menerangi Sarawak, tetapi juga menyediakan kuasa tambahan untuk Sarawak mencapai pembangunan industri pada masa akan datang,” katanya lagi.
Dalam kesempatan itu juga, Dato Sri Julaihi menzahirkan penghargaan kepada Datuk Sharbini atas sumbangan serta kerjasama beliau sepanjang menerajui SEB, khususnya dalam memperkukuh infrastruktur elektrik, membangunkan keupayaan warga kerja serta memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, kelestarian dan pembangunan bertanggungjawab. -EDISI UKAS