Ahli Lembaga Pengarah SEB Beri Lampu Hijau Lantik Datuk Sharbini Sebagai Pengarah Baharu
KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili diberi ‘lampu hijau’ untuk kembali ke Sarawak Energy Berhad (SEB) sebagai Ahli Lembaga Pengarah setelah persaraan beliau pada penghujung bulan ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata, cadangan untuk menamakan Datuk Sharbini sebagai anggota Lembaga Pengarah akan dibawa dalam mesyuarat lembaga pada Oktober, selepas mendapat persetujuan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
“Saya sudah mendapatkan pengesahan semula daripada Yang Amat Berhormat Premier Sarawak mengenai cadangan supaya Datuk Sharbini dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SEB dan beliau telah menyokong dan bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Justeru, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah SEB yang akan datang pada Oktober ini, saya akan mencadangkan Datuk Sharbini untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SEB,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Malam Penghargaan Datuk Sharbini yang akan bersara pada 31 Oktober ini, di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.
Hadir menyerikan majlis berkenaan ialah Datuk Patinggi Abang Zohari.
Datuk Ibrahim yang juga Pengerusi Sarawak Energy SEB menambah, sumbangan Datuk Sharbini sepanjang lebih sedekad menerajui SEB bukan sekadar dapat dilihat menerusi pencapaian kewangan, projek dan pengiktirafan yang diterima, tetapi turut terserlah melalui nilai kepimpinan, pembangunan modal insan serta budaya kerja yang dibentuk dalam organisasi.
Katanya, antara perkara yang paling menonjol ialah komitmen beliau terhadap kebajikan dan keselamatan warga SEB dengan meletakkan pekerja sebagai aset terpenting organisasi.
Tambah Datuk Ibrahim, SEB turut berkembang dengan ketara sepanjang tempoh kepimpinan Datuk Sharbini, khususnya dalam menyokong pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak melalui pengukuhan kapasiti tenaga boleh diperbaharui, kesalinghubungan tenaga serantau dan pertumbuhan industri.
Dedah beliau, Datuk Sharbini turut memperkenalkan ‘Sarawak Energy Excellence Roadmap’ pada 2017 sebagai panduan transformasi organisasi, meliputi pengukuhan operasi, pelaksanaan projek, pembangunan bakat dan keupayaan organisasi.
“Sejak itu, ‘roadmap’ ini berkembang melalui beberapa fasa, daripada mengekalkan nilai dan penambahbaikan berterusan, menjadi pengendali terbaik, sehingga akhirnya mencapai aspirasi untuk menjadi kuasa besar tenaga boleh diperbaharui,” katanya lagi.
Datuk Ibrahim turut menambah, hasil transformasi tersebut turut dapat dilihat melalui peningkatan hasil tahunan SEB yang mencecah kira-kira RM8 bilion pada 2025, hampir dua kali ganda berbanding permulaan proses transformasi berkenaan. -EDISI UKAS