Datuk Sharbini Akhiri Dekad Kepimpinan SEB Dengan Keyakinan Terhadap Generasi Seterusnya
KUCHING: Selepas hampir sedekad menerajui Sarawak Energy Berhad (SEB), Datuk Sharbini Suhaili mengakhiri tempoh kepimpinannya dengan keyakinan bahawa syarikat itu kini mempunyai asas kukuh dan warga kerja yang bersedia meneruskan agenda pembangunan tenaga Sarawak.
Beliau yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB pada November 2016, berkata perkara yang paling dirasainya selepas meninggalkan jawatan tersebut bukan sekadar pencapaian atau kejayaan projek, tetapi warga kerja yang menjadi penggerak utama organisasi.
“Apabila ditanya apa yang paling saya akan rindui daripada peranan sebagai CEO Kumpulan SEB, jawapannya ialah warga Sarawak Energy.
“Sama ada di stesen janakuasa, tapak projek atau operasi lapangan, dedikasi mereka memastikan organisasi ini terus bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perpisahan beliau dalam Majlis Malam Penghargaan sempena persaraan beliau pada 31 Oktober ini, di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.
Hadir menyerikan majlis berkenaan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Patinggi Abang Zohari atas kepercayaan yang diberikan kepada SEB sepanjang tempoh kepimpinannya.
Katanya, SEB diberikan tanggungjawab yang lebih luas daripada peranan tradisional sebagai syarikat utiliti, termasuk menyokong sasaran elektrifikasi penuh, meneroka penyelidikan hidrogen dan membangunkan infrastruktur pengisian bahan api hidrogen serta transformasi digital.
Sepanjang tempoh kepimpinannya, Datuk Sharbini menerajui pengambilalihan Loji Hidroelektrik Bakun, memperkukuh kedudukan kewangan Sarawak Energy sambil mengekalkan penarafan kredit gred pelaburan antarabangsa dan penarafan AAA domestik, serta menerapkan budaya kesihatan, keselamatan, sekuriti dan alam sekitar (HSSE) yang kukuh dalam seluruh organisasi.
Di bawah kepimpinannya juga, Loji Hidroelektrik Bakun menerima Anugerah Blue Planet 2025 daripada ‘International Hydropower Association’ (IHA) serta Pensijilan Perak ‘Hydropower Sustainability Standard’, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak Energy di peringkat antarabangsa dalam bidang tenaga hidroelektrik mampan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Dato Ruslan Abdul Ghani dilantik sebagai Bakal Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB di mana beliau akan memegang jawatan tersebut mulai 1 September 2026 sebelum mengambil alih sepenuhnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada 1 November 2026, susulan persaraan Datuk Sharbini pada penghujung Oktober ini. -EDISI UKAS