Belanjawan 2027: Rakyat Harap Kos Sara Hidup, Kebajikan Pekerja Swasta Diberi Keutamaan
KUCHING: Usaha meringankan beban kos sara hidup, memperluas peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan dan kebajikan pekerja sektor swasta menjadi antara harapan rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mendapati rakyat berharap belanjawan kali ini memberi penekanan kepada bantuan yang lebih bersasar, pembangunan kemahiran tenaga kerja serta inisiatif yang mampu meningkatkan kesejahteraan isi rumah.
Eksekutif Pentadbiran sebuah perusahaan makanan dan minuman (F&B), Nur Atikah Mohammad berkata, golongan berpendapatan rendah dan sederhana perlu terus diberi perhatian berikutan peningkatan kos sara hidup yang turut memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan kecil.
Menurutnya, peningkatan kos operasi khususnya dalam sektor F&B dan peruncitan turut mempengaruhi harga barangan serta perkhidmatan, sekali gus menambah tekanan kewangan kepada pengguna.
“Saya berharap bantuan yang diberikan kerajaan lebih bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan, terutama bagi keperluan makanan asas, pendidikan, pengangkutan dan perumahan,” katanya ketika ditemui UKAS pada Rabu.
Selain bantuan kos sara hidup, Nur Atikah turut berharap kerajaan memperkukuh sektor pendidikan dan kesihatan, di samping memperluas peluang pekerjaan serta menyediakan lebih banyak program peningkatan kemahiran dan latihan semula kepada tenaga kerja.
Katanya, peluang latihan khususnya dalam sektor F&B, perkhidmatan dan perniagaan kecil penting bagi meningkatkan produktiviti, kebolehpasaran serta potensi pendapatan pekerja.
“Sekiranya kemahiran ditingkatkan, gaji juga sepatutnya meningkat mengikut tahap kemahiran, pendidikan, pengalaman dan tanggungjawab dalam kerjaya, bukan semata-mata berdasarkan gaji minimum,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap kerajaan dapat mewujudkan keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kelangsungan perniagaan kecil melalui sokongan yang membolehkan majikan menawarkan gaji lebih kompetitif tanpa menjejaskan operasi perniagaan.
Sementara itu, suri rumah yang turut bekerja sebagai tutor, Halimatussaadiah Abdul Hai, berharap Belanjawan 2027 memberi perhatian kepada golongan yang melakukan lebih daripada satu pekerjaan bagi menampung keperluan keluarga.
Menurutnya, peningkatan kos sara hidup mendorong semakin ramai individu mencari sumber pendapatan tambahan, sekali gus memerlukan sokongan dan inisiatif yang bersesuaian daripada kerajaan.
“Pada masa sekarang, saya melihat ramai yang tidak hanya melakukan satu pekerjaan, sebaliknya mempunyai lebih daripada satu sumber pendapatan. Saya sendiri bekerja sebagai tutor selepas waktu kerja dan pada hujung minggu, jadi masa agak terhad,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan pesat Sarawak juga perlu seiring dengan peluasan peluang pekerjaan bagi membolehkan lebih ramai rakyat, khususnya golongan yang masih menganggur, menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam pada itu, Halimatussaadiah berharap kebajikan pekerja sektor swasta turut diberi perhatian, khususnya dari aspek peningkatan gaji dan penyediaan insentif yang dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.
“Setiap tahun kerajaan memberikan keutamaan kepada kenaikan gaji penjawat awam. Kalau boleh, dalam Belanjawan 2027, sektor swasta juga dapat menikmati keistimewaan dan manfaat daripada peningkatan gaji,” katanya.
Beliau turut berharap bantuan kos sara hidup seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dapat diperluas kepada lebih ramai penerima yang layak berdasarkan keperluan dan tanggungan isi rumah.
Secara keseluruhannya, kedua-dua responden berharap Belanjawan 2027 dapat membawa manfaat secara langsung kepada rakyat menerusi langkah menangani tekanan kos sara hidup, meningkatkan pendapatan serta memperkukuh peluang pekerjaan dan kebajikan pekerja sektor swasta.-EDISI UKAS