Penanaman 210 Pokok Sokong Sasaran 50 Juta Pokok Sarawak
SARATOK: Sebanyak 210 anak pokok ditanam di sekitar Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Saratok menerusi Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) Jabatan Hutan Sarawak, selaras dengan usaha menyokong sasaran penanaman 50 juta pokok di Sarawak menjelang 2030.
Penanaman itu melibatkan 66 pelajar kolej berkenaan dan menjadi sebahagian daripada usaha Jabatan Hutan Sarawak menyemai kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan hutan dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
Ketua Bahagian Pewartaan dan Konservasi Jabatan Hutan Sarawak merangkap wakil Pengarah Hutan Negeri Sarawak, Azahari Omar berkata, penglibatan golongan muda penting bagi memastikan usaha penanaman dan pemuliharaan hutan dapat diteruskan secara berterusan.
“Usaha yang kita laksanakan hari ini melalui penanaman pokok akan diteruskan oleh generasi muda bagi memastikan warisan hutan kita terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program CEPA dan Penanaman Pokok di Kolej Tingkatan Enam Saratok, pada Rabu.
Menurut Azahari, Sarawak telah mencapai sasaran penanaman 35 juta pokok pada 2024 dan kini menyasarkan penanaman 50 juta pokok menjelang 2030 selaras dengan Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030.
Katanya, usaha penanaman pokok perlu disokong dengan peningkatan kesedaran masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai kepentingan memelihara khazanah hutan untuk manfaat jangka panjang.
Azahari berkata, hutan pada masa kini bukan sahaja dinilai dari segi hasil balak, malah mempunyai nilai tinggi melalui simpanan karbon yang boleh diperdagangkan.
“Sarawak memiliki kawasan hutan terbesar di Malaysia iaitu seluas 7.67 juta hektar atau 62 peratus daripada keluasan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru generasi muda khususnya pelajar supaya memainkan peranan dalam memelihara kelestarian alam sekitar dan memastikan warisan hutan terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Antara spesies yang ditanam sempena program berkenaan termasuk pokok belian, pokok doa dan pelbagai jenis pokok buah-buahan.
Program anjuran Jabatan Hutan Sarawak melalui Pejabat Hutan Wilayah Sri Aman itu turut dihadiri Pegawai Hutan Wilayah Sri Aman, Syafiana Osman, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Lee Kim Yang, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Saratok Unit Menengah dan Tingkatan Enam, Georgina Tra Geraman, Pengetua Kolej Tingkatan Enam Saratok, Omar Sharif Buseri serta Yang Dipertua PIBG, Mohd. Khairil Abdullah.-EDISI UKAS