BEC Perkukuh Jaringan Ekonomi Borneo-ASEAN, 17 Organisasi Sertai Kerjasama
KUCHING: Komuniti Ekonomi Borneo (BEC) memperkukuh kerjasama ekonomi serantau menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), selain penyertaan 17 organisasi institusi dan korporat.
Kerjasama itu dimeterai sempena Malam Gala Forum Ekonomi Borneo Kedua 2026 di sini pada Rabu.
MoU berkenaan ditandatangani Pengerusi Bersama BEC, Bapak Arsjad Rasjid dan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Reka Bentuk Dasar ERIA, Naoto Okura.
Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada penyelidikan, pembangunan dasar ekonomi dan peningkatan kesalinghubungan antara Borneo dengan ASEAN.
Pada majlis sama, 17 organisasi institusi dan korporat menyertai BEC menerusi pemeteraian Pernyataan Kerjasama (SoC), dengan 14 organisasi penandatangan hadir.
Penyertaan itu melibatkan sembilan organisasi institusi termasuk BEC, Indonesian Business Council (IBC), Sarawak Business Federation (SBF) dan ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC) Indonesia.
Lapan organisasi korporat pula ialah Confer Sdn Bhd, Hatiassets Ltd, Adinin Group of Companies, YCH Group, PT Interport Mandiri Utama, Sriwijaya Capital, Aster Energy and Chemicals Ltd. serta Imasa Dynasty.
Kerjasama berkenaan dijangka memperluas jaringan perniagaan, pelaburan dan pembangunan ekonomi merentas sempadan.
Turut hadir, Pengerusi Pihak Berkuasa Modal Nusantara, Basuki Hadimuljono, Timbalan Menteri Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Brunei Darussalam, Datin Seri Paduka Tutiaty Abdul Wahab, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: George S Embie