Jambatan Batang Paloh ‘Game Changer’ Pembangunan Pulau Bruit
DARO: Pembinaan Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.9 kilometer (km) bakal membuka lembaran baharu pembangunan Pulau Bruit apabila kemudahan itu melengkapkan jaringan perhubungan darat ke tanah besar, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 12,000 penduduk di 14 penempatan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penyempurnaan pembinaan jambatan berkenaan bersama Jambatan Muara Lassa sepanjang 2.4 km menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi, khususnya sektor perikanan, pertanian dan perniagaan di kawasan pesisir Sarawak.
Menurut beliau, kedua-dua jambatan dengan nilai keseluruhan melebihi RM900 juta itu bukan sahaja meningkatkan keselesaan perjalanan penduduk, malah mempercepat urusan pengangkutan hasil laut dan pertanian ke pasaran.
“Dengan siapnya Jambatan Batang Paloh (1.9 km) dan Jambatan Muara Lassa (2.4 km), maka lengkaplah misi menghubungkan Pulau Bruit dengan tanah besar.
“Pembinaan dua jambatan yang bernilai lebih RM900 juta ini akan memberi keselesaan pergerakan kepada masyarakat dari 14 penempatan di Pulau Bruit yang berjumlah lebih 12,000 penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian susulan penyempurnaan Majlis Penyambungan Akhir Jambatan Batang Paloh oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Khamis.
Datuk Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak atas komitmen memastikan projek berkenaan dapat disiapkan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Katanya, projek tersebut mengalami kelewatan hampir dua tahun susulan dua insiden pelanggaran tongkang terhadap tiang jambatan ketika kerja pembinaan sedang dilaksanakan.
“Perasaan syukur dan bangga melihat jambatan ini siap ibarat seperti memenangi Piala Dunia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pekerja perkhidmatan feri yang selama ini berkhidmat dengan penuh kesabaran dan dedikasi, termasuk ketika musim perayaan sehingga lewat malam.
Mengulas kepentingan strategik projek berkenaan, Datuk Abdullah berkata, Pulau Bruit bersama kawasan sekitarnya seperti Daro, Matu dan Tanjung Manis merupakan antara kawasan utama pengeluaran sumber makanan berasaskan hasil laut dan pertanian.
Justeru, jaringan jalan raya yang lebih baik dijangka mempercepat pergerakan barangan, mengurangkan kekangan logistik serta membuka peluang ekonomi dan perniagaan baharu kepada masyarakat setempat.
Menurut beliau, kedua-dua jambatan itu juga merupakan sebahagian daripada rangkaian Jalan Pesisir Sarawak sepanjang lebih 900 km yang menghubungkan kawasan selatan hingga utara negeri, termasuk pembinaan 21 jambatan utama.
“Kerajaan Sarawak membelanjakan lebih RM11 bilion daripada dana sendiri untuk membina Jalan Pesisir sepanjang 900 km dan Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road) sepanjang 230 km yang bertindak sebagai sistem saraf kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, khususnya di kawasan pedalaman Sarawak.
“Sistem perhubungan jalan raya yang selesa dan lengkap turut menjadi faktor kritikal dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan perniagaan, integrasi masyarakat, jaminan keselamatan, proses urbanisasi serta pembukaan petempatan baharu,” katanya.
Mengimbas kembali usaha memperjuangkan pembangunan jaringan jalan raya pesisir, Datuk Abdullah berkata, cadangan berkenaan pernah dibangkitkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada April 2015.
Ketika itu, beliau selaku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan telah mengetuai sekumpulan wakil rakyat kawasan pesisir mengemukakan cadangan pembinaan jalan pesisir sepanjang sekurang-kurangnya 900 km, termasuk sembilan jambatan, dengan anggaran kos tidak kurang RM3 bilion.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam merealisasikan pembangunan infrastruktur berkenaan melalui pengukuhan ekonomi dan peningkatan hasil negeri.
Sementara itu, Datuk Abdullah berkata, pembangunan infrastruktur di kawasan DUN Semop akan terus dipergiatkan, termasuk pembinaan pusat niaga, dewan masyarakat dan rumah ibadat bagi memenuhi keperluan penduduk.
Katanya, empat jambatan dengan nilai keseluruhan RM20 juta juga sedang dibina bagi menghubungkan empat kampung di utara Pulau Bruit dengan jalan utama.
Selain itu, lebih RM50 juta telah dibelanjakan sepanjang tempoh 10 tahun lalu bagi menaik taraf jalan kampung dan rumah panjang di kawasan DUN N.42 Semop.
Dari aspek pelancongan, beliau berkata, Pulau Bruit turut mempunyai potensi tersendiri berdasarkan keunikan geografinya sebagai antara pulau terbesar di Malaysia yang dihubungkan ke tanah besar menerusi dua jambatan.
Pembinaan Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Muara Lassa sekali gus dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan lebih menyeluruh, merangkumi peningkatan mobiliti penduduk, pertumbuhan aktiviti ekonomi serta pembukaan peluang pelancongan baharu di kawasan pesisir Sarawak.-EDISI UKAS