Karnival PPKI Perkasa Potensi, Keyakinan Murid Pendidikan Khas
DARO: Karnival Sukan dan Kesenian Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Peringkat Zon Tengah Sarawak menjadi platform memberi peluang kepada murid pendidikan khas mengembangkan potensi, meningkatkan keyakinan diri serta menyerlahkan bakat masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, penganjuran program seumpama itu penting bagi memastikan murid pendidikan khas turut mendapat peluang yang sama untuk berkembang melalui aktiviti sukan, kesenian dan kemahiran.
“Kita mahu melihat anak-anak pendidikan khas terus diberi peluang yang sama untuk berkembang dan menyerlahkan potensi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Karnival Sukan dan Kesenian PPKI Peringkat Zon Tengah Sarawak di Dewan Baitus Sina, SK Hijrah Badong, baru-baru ini.
Karnival yang berlangsung selama dua hari, dari 6 hingga 7 Oktober, menghimpunkan murid pendidikan khas menerusi pelbagai aktiviti termasuk tarian, nyanyian, dekorasi kek, kolaj dan petanque.
Penglibatan dalam aktiviti tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada murid menampilkan bakat, malah membantu membina pengalaman, interaksi sosial dan keyakinan untuk berkomunikasi serta bekerjasama dalam suasana yang inklusif.
Penganjuran program turut mencerminkan kepentingan kerjasama berterusan antara pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat dan agensi berkaitan dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyokong perkembangan murid pendidikan khas.
Turut hadir Timbalan PPD Daro (Sektor Pembelajaran), Nancy Ngumbang, Penolong PPD Daro (Unit Menengah dan Tingkatan Enam, Sektor Pengurusan Sekolah), Fazarriah Singki, Guru Besar SK Hijrah Badong, Jamali Kadir, Yang Dipertua PIBG, Aimasuriana Noor Mohammad serta Pengerusi PERPAI Pendidikan Khas SK Hijrah Badong, Nurhidayati Abdullah @ Betty Satus.-EDISI UKAS