Fifty7 Welfare Pickleball Perkukuh Kerjasama Warga Pejabat
MUKAH: Penganjuran Fifty7 Welfare Pickleball Tournament menjadi medium memperkukuh kerjasama, komunikasi dan hubungan kerja dalam kalangan warga pejabat dalam suasana santai.
Kejohanan anjuran bersama Pusat Khidmat Tellian dan Pejabat Kebajikan Bahagian Mukah itu berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Petanak pada Rabu dengan penyertaan lapan regu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, aktiviti sukan secara bersama membuka ruang kepada warga pejabat berinteraksi dalam suasana lebih santai di samping memupuk semangat berpasukan.
“Program seperti ini penting dalam memupuk semangat kesukanan dan persaingan sihat, di samping mengeratkan hubungan silaturahim serta kerjasama antara warga pejabat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada kejohanan berkenaan yang turut menjadi platform menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan peserta.
Kejohanan menyaksikan gandingan Dariel dan Tommy muncul juara, diikuti Max dan Irfan di tempat kedua.
Gandingan Iwan dan Daniel menduduki tempat ketiga, manakala Atiqah dan Azuan di tempat keempat.
Keempat-empat pasangan terbaik menerima hamper sebagai hadiah.-EDISI UKAS