Projek Naik Taraf Sistem Perparitan Kampung Braang Payang Bernilai RM150,000 Dipantau
PADAWAN: Projek menaik taraf sistem perparitan di Lorong 3, Kampung Braang Payang, yang dilaksanakan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN N.19 Mambong dengan peruntukan RM150,000, dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.
Bagi memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut spesifikasi dan jadual ditetapkan, Pusat Khidmat DUN Mambong bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak mengadakan pemeriksaan di tapak projek pada Rabu.
Pemeriksaan itu diketuai Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Keron Mapus, bersama wakil DID bagi menilai kemajuan pelaksanaan projek serta memastikan setiap komponen kerja mematuhi keperluan teknikal yang ditetapkan.
Selain itu, pemeriksaan berkenaan turut bertujuan memastikan semua kerja disiapkan mengikut skop dan spesifikasi sebelum proses penyerahan projek kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Braang Payang dilaksanakan.
Pelaksanaan projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk menambah baik infrastruktur asas luar bandar, khususnya sistem perparitan demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Turut hadir, Ketua Kaum Kampung Braang Payang, James Hook dan wakil kontraktor Syarikat Sekirik. -EDISI UKAS