SPK Sundar Diperkasa, Penempatan Penduduk Dirancang Lebih Tersusun
LAWAS: Kerajaan Sarawak memberi perhatian terhadap pembangunan penempatan penduduk di kawasan Sundar menerusi pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung (SPK) yang mengambil kira aspek keselamatan, kemudahan asas serta keperluan ekonomi masyarakat setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perancangan SPK bagi Kampung Sinampuan, Kampung Tanjung Katong, Kampung Sebelah dan Kampung Aru perlu dilaksanakan secara teratur dengan mengambil kira keadaan muka bumi serta risiko hakisan dan banjir.
“Kalau terlalu hampir dengan sungai, bahayanya ada kerana apabila hujan lebat bertembung dengan air pasang, tanah boleh runtuh dan hakisan boleh berlaku. Tetapi kalau terlalu jauh, kehidupan masyarakat yang masih bergantung kepada sungai juga perlu diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke beberapa projek pembangunan melibatkan kemudahan awam dan penempatan penduduk di Sundar, pada Rabu.
Menurutnya, SPK bukan sekadar menyediakan lot untuk pembinaan rumah, malah turut dirancang dengan kemudahan seperti jalan konkrit, sistem perparitan, bekalan air dan elektrik serta ruang yang boleh dimanfaatkan bagi aktiviti industri kecil dan perusahaan masyarakat.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu, pelaksanaan SPK juga perlu memberi peluang kepada penduduk mengembangkan aktiviti ekonomi seperti pertanian, pemprosesan hasil laut serta perusahaan kecil berdasarkan potensi setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Amar Awang Tengah turut memaklumkan perancangan meningkatkan hubungan antara kawasan sekitar Sundar menerusi pembinaan jambatan serta rangkaian jalan raya termasuk laluan ke lapangan terbang baharu dan Awat-Awat.
Beliau turut meninjau projek pembinaan baharu Surau Kampung Sinampuan Lama dan Dewan Kampung Aru yang dilaksanakan bagi menambah baik kemudahan untuk kegunaan masyarakat setempat.
“Dengan kemudahan yang lebih baik, kita mahu kampung-kampung ini dirancang dengan lebih tersusun dan pada masa yang sama dapat menggerakkan masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi,” katanya. -EDISI UKAS