Mahkamah Bumiputera Sarawak Perkukuh Pengurusan Rekod, Pengendalian Kes
BINTULU: Pengurusan rekod yang sistematik, dokumentasi lengkap serta pengendalian kes yang cekap menjadi keutamaan Mahkamah Bumiputera Sarawak dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan keberkesanan pentadbiran kehakiman adat di negeri ini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, setiap prosiding dan keputusan mahkamah perlu disokong dengan rekod yang teratur bagi memastikan proses pengendalian kes dilaksanakan secara profesional serta dapat dirujuk dengan jelas.
“Setiap keputusan perlu disokong dengan rekod, dokumentasi dan proses kerja yang kemas supaya keputusan tersebut dapat difahami, dirujuk dan dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penangguhan Seminar Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera Sarawak bagi Daerah Tatau pada Rabu.
Seminar selama dua hari itu menghimpunkan seramai 130 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Daerah Tatau bagi meningkatkan kefahaman, pengetahuan serta kecekapan mereka dalam pengendalian kes Mahkamah Bumiputera.
Pada majlis berkenaan, Dato Sri John Sikie turut melancarkan Buku Panduan Pengurusan Rekod dan Pentadbiran Mahkamah Bumiputera Sarawak serta Buku Kompilasi Soalan Lazim dan Jawapan Mahkamah Bumiputera Sarawak Jilid 1.
Tambah beliau, kedua-dua penerbitan itu menjadi bahan rujukan penting dalam menyeragamkan pengurusan rekod dan dokumentasi, selain memperjelas prosedur, bidang kuasa serta tatacara pengendalian kes.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama bersepadu antara Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak, Pejabat Daerah serta KMKK dalam menangani kes tertunggak mengikut bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing.
Usaha berkenaan penting bagi memastikan pengendalian kes dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi kehakiman adat Sarawak.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak, Datu Johnathan Lugoh dan Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti.-EDISI UKAS