Jambatan Batang Paloh Hampir Siap, Perkukuh Akses Darat Pulau Bruit
TANJUNG MANIS: Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.9 kilometer (km) kini menghampiri penghujung pembinaan, membuka laluan kepada pengukuhan akses darat Pulau Bruit ke tanah besar bersama Jambatan Muara Lassa sepanjang 2.4 km.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penyambungan bongkah terakhir Jambatan Batang Paloh merupakan perkembangan penting dalam usaha melengkapkan jaringan perhubungan darat bagi masyarakat Pulau Bruit.
Menurutnya, rangkaian kedua-dua jambatan itu bakal memberi manfaat kepada lebih 12,000 penduduk di 14 penempatan, khususnya dari segi pergerakan harian dan akses kepada kegiatan ekonomi.
“Tiada kata yang lebih baik dapat saya luahkan selain syukur kerana kita akhirnya dapat melihat penyambungan bongkah terakhir jambatan ini,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penuangan Konkrit Terakhir Jambatan Batang Paloh, di sini, pada Khamis.
Datuk Abdullah berkata, peningkatan akses darat turut memberi nilai tambah kepada penduduk yang menjadikan sektor perikanan dan pertanian sebagai sumber pendapatan utama keluarga.
“Apabila kemudahan ini dapat digunakan kelak, ia bukan sahaja memendekkan perjalanan, malah membuka ruang kepada pergerakan yang lebih lancar untuk masyarakat dan kegiatan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian projek itu lebih bermakna selepas pembinaan Jambatan Batang Paloh sebelum ini berdepan kelewatan hampir dua tahun susulan dua insiden tongkang melanggar tiang jambatan ketika kerja pembinaan dijalankan.
Bagaimanapun, usaha pembaikan serta pemantauan berterusan Jabatan Kerja Raya (JKR) membolehkan kerja pembinaan diteruskan sehingga mencapai tahap semasa.
Menurutnya, perkembangan tersebut menunjukkan projek pembangunan berskala besar mampu diteruskan dan disiapkan secara berperingkat meskipun berdepan cabaran sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada petugas perkhidmatan feri yang selama ini menyediakan perkhidmatan kepada penduduk Pulau Bruit sementara kemudahan perhubungan darat belum dapat digunakan sepenuhnya.
Dengan siapnya rangkaian jambatan berkenaan kelak, akses darat yang lebih baik dijangka mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan feri, selain menyediakan pilihan perhubungan yang lebih lancar kepada masyarakat Pulau Bruit.-EDISI UKAS