Jambatan Batang Paloh Dijangka Dibuka Kepada Pengguna 30 Oktober
TANJUNG MANIS: Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer bernilai RM289 juta dijangka dibuka kepada pengguna jalan raya pada 30 Oktober ini selepas projek berkenaan memasuki fasa akhir pelaksanaan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, penuangan konkrit terakhir yang disempurnakan hari ini menandakan projek tersebut kini berada di peringkat akhir sebelum dibuka kepada orang ramai.
Menurutnya, beberapa kerja akhir masih perlu dilaksanakan dan dijangka mengambil masa kira-kira tiga minggu.
“Kerja-kerja akhir projek ini dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira tiga minggu sebelum ia mula digunakan oleh orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis penuangan konkrit terakhir bagi projek Jambatan Batang Paloh, di sini, pada Khamis.
Apabila mula digunakan kelak, jambatan berkenaan bakal menyediakan akses perhubungan darat yang lebih baik kepada penduduk di kawasan pesisir, khususnya Tanjung Manis, Pulau Bruit, Serdeng dan kawasan sekitarnya.
Datuk Ir. Aidel berkata, kemudahan itu turut memperkukuh hubungan antara Sarikei dan Mukah dengan memudahkan pergerakan penduduk serta pengangkutan barangan antara kawasan yang dihubungkan.
Peningkatan akses tersebut juga dijangka menyokong aktiviti ekonomi setempat menerusi pergerakan yang lebih lancar, selain meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan pesisir.
Jambatan Batang Paloh merupakan sebahagian daripada jaringan infrastruktur perhubungan yang dibangunkan bagi memperkukuh kesinambungan laluan di kawasan pesisir Sarawak.
Antara jambatan yang telah beroperasi dalam jaringan tersebut ialah Jambatan Sejingkat, Jambatan Batang Lassa, Jambatan Igan dan Jambatan Tuanku Haji Bujang.
Menurut Datuk Ir. Aidel, kesinambungan pembangunan infrastruktur berkenaan mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan perhubungan serta menyediakan akses yang lebih baik kepada masyarakat di kawasan pesisir.-EDISI UKAS