Lebih RM50 Juta Perkasa Infrastruktur Semop, Empat Jambatan Baharu Dirancang
TANJUNG MANIS: Lebih RM50 juta telah dibelanjakan dalam tempoh sedekad bagi memperkukuh infrastruktur asas di kawasan Semop, dengan pembangunan jalan kampung dan rumah panjang antara kemudahan yang diberi keutamaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, usaha tersebut akan diteruskan dengan memberi perhatian kepada keperluan infrastruktur yang masih diperlukan masyarakat, termasuk penyediaan jaringan perhubungan baharu.
Menurutnya, empat jambatan baharu dengan kos kira-kira RM20 juta kini dirancang bagi menghubungkan beberapa kampung di bahagian utara Pulau Bruit.
“Semop akan terus diberi perhatian kerana masih terdapat pelbagai keperluan yang perlu dipenuhi bagi memastikan masyarakat menikmati kemudahan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penuangan Konkrit Terakhir Jambatan Batang Paloh, di sini, pada Khamis.
Menurut Datuk Abdullah, pembinaan empat jambatan berkenaan dijangka memudahkan pergerakan penduduk antara penempatan serta melancarkan urusan harian masyarakat di kawasan berkenaan.
Selain jaringan perhubungan, pembangunan infrastruktur di Semop turut mengambil kira penyediaan kemudahan awam baharu seperti pusat niaga, dewan masyarakat dan rumah ibadah berdasarkan keperluan komuniti setempat.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk memastikan kawasan pesisir turut menikmati kemudahan asas yang lebih baik.
Dalam konteks jaringan perhubungan yang lebih luas, lebih RM11 bilion daripada sumber kewangan negeri telah disalurkan bagi pembangunan Lebuhraya Pesisir sepanjang kira-kira 900 kilometer (km) dan Jalan Utama Kedua sepanjang 230 km.
Datuk Abdullah berkata, kedua-dua jajaran strategik itu bukan sahaja menghubungkan kawasan dari satu bahagian ke bahagian lain, malah menyediakan rangkaian asas yang menyokong perkembangan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan yang dilaluinya.
“Jaringan perhubungan ini ibarat sistem saraf yang menghubungkan kawasan di seluruh Sarawak kerana pembangunan jalan raya turut membuka ruang kepada pertumbuhan infrastruktur dan kemudahan asas,” katanya.
Tambah beliau, Lebuhraya Pesisir yang merentasi kawasan selatan hingga utara Sarawak turut merangkumi pembinaan 21 jambatan utama bagi melengkapkan jajaran tersebut.
Menurutnya, cadangan pembinaan laluan pesisir sepanjang kira-kira 900 km itu pernah dibangkitkan ketika beliau bersama wakil rakyat kawasan pesisir membahaskan keperluan berkenaan dalam Persidangan DUN pada 2015.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD), khususnya Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, atas komitmen berterusan dalam memperkukuh agenda pembangunan infrastruktur negeri.-EDISI UKAS