Feri Batang Paloh Dicadang Dipindahkan Ke Kawasan Masih Memerlukan
DARO: Perkhidmatan feri yang tidak lagi diperlukan selepas Jambatan Batang Paloh siap kelak dicadang dipindahkan ke kawasan lain yang masih bergantung kepada pengangkutan sungai bagi memastikan kemudahan berkenaan terus dimanfaatkan oleh rakyat.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Wahab berkata, perkhidmatan feri tidak seharusnya ditamatkan apabila akses jalan darat tersedia, sebaliknya boleh digunakan semula di kawasan yang masih memerlukan kemudahan tersebut.
“Saya berharap apabila feri tidak lagi digunakan di kawasan ini, perkhidmatannya jangan ditamatkan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyambungan Bongkah Akhir Jambatan Batang Paloh di sini, Khamis.
Menurut beliau, perkhidmatan feri masih diperlukan di beberapa kawasan termasuk Kampung Paloh yang sehingga kini belum mempunyai akses jalan raya dan jambatan yang menghubungkannya dengan kawasan lain.
Katanya, penyambungan bongkah akhir Jambatan Batang Paloh merupakan perkembangan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan ke Pulau Bruit, sekali gus mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap perkhidmatan feri apabila jambatan itu siap kelak.
“Dengan siapnya jambatan ini, kita tidak perlu lagi menunggu feri untuk ke Pulau Bruit kerana kini mempunyai akses jalan yang lebih mudah,” katanya.
Dalam pada itu, Dato Ir. Yusuf turut menekankan kepentingan mengekalkan dan menyelenggara pelantar feri sedia ada meskipun perkhidmatan berkenaan tidak lagi diperlukan di sesuatu lokasi.
Jelasnya, pelantar tersebut masih boleh dimanfaatkan bagi tujuan pemantauan struktur jambatan serta menyokong operasi mencari dan menyelamat ketika kecemasan di sungai.
“Sekiranya berlaku kecemasan di sungai, pelantar ini memudahkan bot bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi berkaitan diturunkan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” tambahnya.
Terdahulu, Majlis Penyambungan Bongkah Akhir Jambatan Batang Paloh disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap ADUN Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap ADUN Semop, Datuk Abdullah Saidol, ADUN Daro, Dr. Safiee Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datu Chiew Chee Yau, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris serta Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli.-EDISI UKAS