Generasi Muda Disaran Main Peranan Aktif Sebagai Duta Warisan
BETONG: Generasi muda disaran memainkan peranan aktif sebagai duta warisan dalam mempromosikan sejarah, keunikan serta identiti Betong kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Belia dan Sukan), Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, usaha memperkenalkan sejarah Betong bukan sahaja penting bagi memelihara warisan masa lalu, malah menjadi platform pendidikan kepada generasi muda untuk memahami asal usul serta pembentukan sistem pentadbiran dan undang-undang di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, sejarah pembinaan kubu pada tahun 1858 merupakan satu pengajaran penting mengenai peranan undang-undang dan tadbir urus dalam menjamin keamanan, keharmonian serta kesejahteraan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Sarawak Heritage Educational Programme anjuran Jabatan Muzium Sarawak di kubu bersejarah Fort Lily, Betong, pada Sabtu.
Datuk Gerald berkata, generasi muda perlu dididik supaya menjadi pewaris yang menghargai sejarah serta bertanggungjawab memastikan khazanah warisan berkenaan terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Katanya, penggunaan platform digital, media sosial dan pendekatan kreatif boleh dimanfaatkan oleh golongan muda untuk memperkenalkan sejarah serta warisan Betong dengan lebih meluas.
Menurut beliau, penglibatan aktif generasi muda dalam usaha berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan warisan tempatan, malah berpotensi memperkukuh daya tarikan Betong sebagai destinasi pelancongan berasaskan sejarah dan warisan.
Program berkenaan melibatkan penyertaan pelajar serta guru pengiring dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Betong sebagai usaha memperluas pendedahan dan memupuk kesedaran generasi muda terhadap kepentingan memulihara serta menghargai tinggalan sejarah tempatan.
Antara pengisian utama ialah sesi perkongsian ilmu bertajuk "Preserving the Past: Discovering Our Heritage Forts and Treasures” yang disampaikan oleh Seellren Anthony.
Para peserta turut mengikuti lawatan berpandu khas di sekitar Fort Lily yang dikendalikan oleh Dr. Louise M. Macul bagi memberikan pendedahan secara langsung mengenai nilai sejarah dan kepentingan kubu berkenaan.
Program turut diserikan dengan sesi soal jawab dan kuiz interaktif bagi menguji serta meningkatkan pemahaman peserta terhadap perkongsian ilmu yang disampaikan.
Selain itu, para pelajar diberi peluang membuat pembentangan berdasarkan tajuk yang ditetapkan bagi menggalakkan penglibatan aktif, meningkatkan keyakinan diri serta mengasah kemahiran komunikasi dan penyampaian maklumat.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Muzium Sarawak dalam mendidik dan mendekatkan masyarakat, khususnya golongan pelajar, dengan sejarah pertahanan serta warisan budaya negeri Sarawak.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agrokraf Borneo, Betong, Datin Rosemarie Wong serta Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Anielia Siam. - EDISI UKAS