MDSA, Public Bank Sri Aman Jalin Kerjasama Jayakan Program Inisiatif ESG
SIMANGGANG: Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dengan kerjasama Public Bank Sri Aman telah menganjurkan Program Inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tata Kelola (ESG) bertempat di Pusat Kebudayaan Sri Aman, pada Sabtu.
Program itu bertujuan untuk memupuk kesedaran serta meningkatkan tanggungjawab penduduk terhadap penjagaan kebersihan dan kelestarian alam sekitar secara bersama.
Menurut Pengerusi MDSA, Kaunselor (Kr) Anthony Abell Chendan, kerjasama strategik seperti itu amat penting dalam usaha mendidik penduduk agar menjadi lebih prihatin terhadap kebersihan persekitaran di penempatan masing-masing.
"Untuk menjayakan program ini, pihak kita telah pun melaksanakan aktiviti mengutip sampah sambil berjalan kaki yang melibatkan penyertaan seramai 50 Ahli Majlis MDSA termasuk kakitangan Public Bank Sri Aman.
"Perlaksanaan program berkenaan bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan para peserta malah memberi impak yang cukup besar sekiranya dijadikan sebagai budaya hidup harian dalam kalangan warga Sri Aman," katanya ketika merasmikan program tersebut.
Turut berlangsung adalah sesi senamrobik dan penyerahan sumbangan plak “Sila Buang Sampah Di Tempat Yang Betul” yang disampaikan oleh Pengurus Public Bank, Thian Kim Jung untuk ditempatkan di lokasi bersesuaian sebagai peringatan berterusan kepada orang awam. - EDISI UKAS