Kepercayaan Penuh Kepada Aidil, KCFC Yakin Mampu Cipta Kejutan
KUCHING: Kepercayaan penuh terhadap kemampuan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, menjadi sandaran Kuching City FC (KCFC) untuk memburu kebangkitan ketika berdepan Selangor FC dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala FA di Stadium Taha Ariffin, pada Ahad ini.
Pengerusi Eksekutif Kuching City FC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya perancangan taktikal dan pendekatan perlawanan kepada Aidil kerana yakin ketua jurulatih itu lebih memahami keperluan pasukan dalam menghadapi cabaran Selangor.
Beliau berkata, keyakinan itu turut didorong kemampuan pemain untuk bangkit daripada kekalahan 1-2 pada aksi pertama di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, pada 23 Oktober lalu, sekali gus merebut peluang melakar sejarah mara ke final Piala FA buat kali pertama.
“Perancangan, saya serahkan kepada ketua jurulatih kerana saya tahu beliau lebih tahu bagaimana untuk menghadapi Selangor.
“Saya ada sepenuh kepercayaan kepada Coach Aidil dan saya yakin malam esok kita boleh membuat kejutan dan sekali lagi menempah tempat ke final Piala FA,” katanya ketika ditemui media selepas Program Santai Pemuda dan Belia Parlimen Petra Jaya, di sini, pada Sabtu.
Hadir menyempurnakan program berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Tambah Dato Fazzrudin , pencapaian KCFC mara ke final Piala Malaysia musim lalu membuktikan skuad The Cats mempunyai keupayaan untuk bersaing dalam perlawanan berintensiti tinggi, sekali gus menjadi suntikan keyakinan menjelang pertembungan penting itu.
Mengulas cabaran untuk mengatasi defisit jaringan, beliau mengakui Selangor merupakan lawan yang kuat, namun kelebihan beraksi di laman sendiri serta sokongan penyokong mampu menjadi faktor penting dalam usaha The Cats memburu kemenangan.
Menurutnya, Kuching City memerlukan sekurang-kurangnya dua jaringan untuk mengatasi kelebihan agregat Selangor dan memastikan laluan ke final tanpa perlu bergantung kepada penentuan masa tambahan atau sepakan penalti.
“Selangor bukanlah sebuah pasukan yang mudah, tetapi kelebihan bermain di tempat sendiri mungkin dapat memberi kelebihan kepada kita.
“Kita mengharapkan sokongan pemain ke-12, iaitu peminat dan penyokong, serta mengharapkan stadium penuh untuk bersama-sama mencipta sejarah mara ke final Piala FA.
“Itu merupakan kali pertama bagi Kuching City, jadi pemain akan memberikan 100 peratus komitmen walaupun dengan jadual perlawanan yang agak ketat. Saya yakin kita boleh melakukannya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berharap faktor keletihan susulan jadual perlawanan padat tidak menjejaskan tumpuan pemain, sebaliknya semangat beraksi di hadapan penyokong sendiri dapat menjadi pemangkin kepada prestasi lebih bertenaga.
Keyakinan itu hadir selepas Kuching City mencatat kemenangan 2-0 ke atas wakil Korea Selatan, Gangwon FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2) pada 5 November lalu, menerusi dua jaringan Safawi Rasid.
Untuk rekod, Selangor membawa kelebihan agregat 2-1 ke Kuching selepas bangkit menewaskan The Cats dalam aksi pertama menerusi dua jaringan Eduardo Sosa, masing-masing pada minit ke-19 dan ke-58, selepas Ramadhan Saifullah meletakkan Kuching City di hadapan seawal minit kesembilan.
Aksi timbal balik itu dijadualkan berlangsung pada 8 November, jam 7.45 malam di Stadium Taha Ariffin, dengan pemenang agregat bakal bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) atau DPMM FC pada final yang dijadualkan berlangsung 16 Januari 2027. -EDISI UKAS