Peningkatan Kes Diabetes Perlu Diberi Perhatian Serius
MIRI: Peningkatan kes diabetes di beberapa kawasan di Sarawak perlu diberi perhatian serius dan memerlukan masyarakat lebih peka terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan itu dikenal pasti menerusi program saringan kesihatan di bawah inisiatif Sarawakku Sayang yang menunjukkan peningkatan kes diabetes di kawasan terlibat.
Menurut beliau, tabiat pemakanan tidak sihat, pengambilan gula dan makanan tinggi kanji secara berlebihan serta kurang melakukan aktiviti fizikal mungkin menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan tersebut.
“Jadi kita nak cari jalan mengapa terdapat tren seperti itu. Mungkin cara hidup kita, antaranya pengambilan makanan yang mengandungi terlalu banyak gula serta kurang melakukan senaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Dialisis Baharu Bulan Sabit Merah Malaysia di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penyediaan lebih banyak pusat dialisis bukanlah penyelesaian utama sekiranya masyarakat tidak mengambil langkah pencegahan awal dan mengutamakan penjagaan kesihatan diri.
“Kalau kita mempunyai banyak pusat dialisis, itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena kerana ramai orang sakit. Dalam erti kata lain, kita perlu menjaga kesihatan diri sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai memanfaatkan teknologi kesihatan bagi memantau tahap kesihatan masing-masing, selain menjalani pemeriksaan doktor secara berkala, sekurang-kurangnya setiap enam bulan atau setahun sekali.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq Khir