Pemberian Khas Sarawak Sebanyak RM1.5 Bilion Akan Dilunaskan Sebelum Penghujung Tahun Ini
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI menaikkan kadar pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak sebanyak tiga kali, dengan kadar interim terkini berjumlah RM1.5 bilion yang akan dilunaskan sebelum penghujung tahun ini.
Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian khas itu perlu mengambil kira keperluan pembangunan Sarawak dan menjadi sebahagian daripada tanggungjawab nasional di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Perjanjian Malaysia 1963 harus dilihat sebagai sebahagian dari Waad Nasional, tanggungjawab nasional yang mesti dijawab secara nasional,” katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2027 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.
Menurut beliau, rundingan bersama Sarawak dan Sabah akan diteruskan bagi memuktamadkan formula tahunan yang adil serta mampan.
“Kerajaan MADANI telah meningkatkan kadar pemberian khas sebanyak tiga kali, dengan kadar interim terkini berjumlah 1.5 bilion ringgit,” katanya.
Untuk rekod, pengumuman awal pemberian khas ini diumumkan beliau semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 September lalu. -EDISI UKAS