Dana RM16.2 Bilion: Datuk Abdullah Mahu Kemudahan Asas Luar Bandar Diutamakan
KUCHING: Pembangunan kemudahan asas di kawasan luar bandar perlu menjadi antara keutamaan dalam penggunaan peruntukan Persekutuan RM16.2 bilion yang disediakan untuk Sarawak menerusi Belanjawan 2027.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, beliau menghargai peruntukan itu dan berharap dana berkenaan disalurkan sepenuhnya mengikut jadual, selain sebahagian besarnya dibelanjakan untuk meningkatkan kemudahan asas di luar bandar.
“Kita hargai peruntukan tersebut dan berharap dana itu disalurkan sepenuhnya mengikut jadual.
“Diharap juga sebahagian besar peruntukan tersebut dibelanjakan untuk pembangunan kemudahan asas di luar bandar,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi Awam Sarawak, selepas pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat.
Terdahulu, Dato Seri Anwar mengumumkan bahawa negeri ini menerima peruntukan Persekutuan sebanyak RM16.2 bilion menerusi Belanjawan 2027 iaitu meningkat RM1.1 bilion berbanding RM15.1 bilion pada tahun ini.
Dalam pembentangan itu, Dato Seri Anwar memaklumkan peruntukan untuk Sabah dan Sarawak kekal pada paras tertinggi, dengan Sabah menerima RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion tahun ini. -EDISI UKAS