Operasi Pembenihan Awan Hari Kedua Fokus Empangan Utama Sarawak
KUCHING: Operasi Pembenihan Awan Siri 4/2026 Sarawak pada hari kedua hari ini memfokuskan kepada kawasan empangan utama negeri, khususnya Empangan Bakun, Murum dan Batang Ai bagi membantu meningkatkan takungan air susulan fenomena El Nino.
Pelaksanaan operasi itu mengambil kira perancangan mengikut zon yang ditetapkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) bagi membantu memastikan paras air empangan tidak berada pada tahap kritikal.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, menghadiri taklimat perancangan operasi berkenaan di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Turut hadir Penolong Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Muhamad Haikal Shaharuddin serta Timbalan Pengarah METMalaysia Sarawak, Sinirovina Urban Sinyaw.
Sebelum penerbangan, proses pembancuhan garam dilakukan menggunakan empat tangki air berkapasiti 1,500 liter setiap satu sebelum bahan berkenaan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM untuk tujuan pembenihan awan.
Operasi yang berlangsung dari 8 hingga 10 Oktober itu melibatkan beberapa agensi kerajaan bagi membantu memastikan bekalan air di empangan utama Sarawak kekal mencukupi.-EDISI UKAS