BAU: Seramai 322 peserta dari 14 kampung di sekitar Jagoi mendapat manfaat daripada Program Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP).
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, pembangunan kapasiti petani penting bagi memastikan penduduk tempatan mampu memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi yang bakal muncul susulan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan itu.
Menurut beliau, program anjuran Jabatan Pertanian Sarawak itu menyediakan platform kepada petani untuk mendapatkan maklumat mengenai bantuan kerajaan, penggunaan teknologi dan peluang meningkatkan produktiviti pertanian.
“Pembangunan Jagoi mesti berjalan seiring dengan pembangunan kapasiti masyarakatnya. Kita perlu memastikan petani mempunyai ilmu, kemahiran dan akses kepada teknologi supaya mereka dapat memanfaatkan peluang yang semakin terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program AgriCOP bagi kawasan DUN Tasik Biru, di sini, pada Jumaat.
Dalam tempoh 2019 hingga 2026, seramai 2,128 penerima di kawasan DUN Tasik Biru telah mendapat manfaat daripada pelbagai projek di bawah Program Fasilitasi Pertanian (AFF), dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.64 juta.
Bantuan tersebut merangkumi pelbagai bidang termasuk tanaman lada, durian, nanas, pisang, sayur-sayuran dan kopi, selain fertigasi, akuakultur, mekanisasi pertanian, pemprosesan makanan serta industri asas tani.
Bagi pelaksanaan AgriCOP kali ini, sebanyak RM25,872 diperuntukkan untuk pelbagai aktiviti, termasuk taklimat bantuan dan skim di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), kursus pengurusan tanaman sayuran dan kontan, kursus tanaman kopi serta demonstrasi kaedah cantuman buah-buahan.
Datuk Henry turut menekankan kepentingan petani meneroka aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran bagi meningkatkan nilai tambah produk pertanian serta meluaskan pasaran.
Sementara itu, projek menaik taraf infrastruktur dan sistem pengairan sawah padi di Kampung Serikin bernilai RM3 juta turut dirancang di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Projek yang melibatkan kawasan penanaman seluas 11.7 hektar itu merangkumi pembinaan benteng, sistem saliran, jalan akses dan kemudahan kawalan air bagi meningkatkan kemudahan serta produktiviti pertanian.
Beliau berkata, pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin juga berpotensi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat, khususnya dalam sektor perdagangan, perniagaan dan pelancongan.
“Jangan kita tunggu sehingga semua projek siap baru kita mula bersedia. Kita perlu bersedia sekarang,” katanya.
Beliau berharap AgriCOP dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian yang lebih produktif dan berdaya saing, sekali gus membolehkan masyarakat setempat memanfaatkan peluang ekonomi yang semakin berkembang di Jagoi dan seluruh kawasan DUN Tasik Biru.-EDISI UKAS