1,350 Individu Terima Darjah Kebesaran, Bintang & Pingat Negeri Sarawak 2026
KUCHING: Seramai 1,350 individu disenaraikan sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sarawak Tahun 2026 sempena Sambutan Hari Lahir Ke-80 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Daripada jumlah itu, empat individu menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S.) yang membawa gelaran Dato Sri.
Mereka ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Dato’ Awang Bemee Awang Ali Basah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Abdul Wahab Aziz dan Datuk Tay Ah Ching @ Tay Chin Kin.
Sementara itu, empat individu menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K.) yang membawa gelaran Datuk.
Penerimanya ialah Dean Wayne Daly, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Dato Idris Buang dan Dato’ Sri Syed Hamzah Syed Paie.
Bagi Darjah Jasa Bakti Sarawak (D.J.B.S.) yang membawa gelaran Datu, enam individu disenaraikan sebagai penerima.
Mereka ialah Morshidi Frederick, Dzulkornain Masron, Dominic Chungat, Ir. Dr. Angelia Liew San Chuin, Ts. Dr. Peter Morin Michael Paong dan Ustaz Mual Suaud.
Selain itu, seramai 24 individu menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S.) yang membawa gelaran Dato.
Antara penerimanya ialah Senator Rita Sarimah Patrick Insol, Senator Susan Chemerai Anding, Friday Belik, Sim Yaw Hang, John Ko Wai Seng, Profesor Firdaus Abdullah, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, Ir. Profesor Lau Hieng Ho, Omar Mahli, Dr. Veronica Lugah, Abang Rahmat Yusuf dan Shariman Jamli.
Turut tersenarai ialah Temenggong Chek Bujang, Temenggong Abdullah Jamil, Temenggong Henry Bujang Sendan, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Abang Ehsan Abang Abu Bakar, Mej Jen Mohd Sobirin Mohd Yusof, Lau Kim Swee, Datin Azerina Mohd. Arip, Kong Chiong Ung, Abg Bohari @ Abg Buahari Abg Zen serta penerima secara anumerta, mendiang Sibat Buyong.
Bagi kategori Johan Bintang Sarawak (J.B.S.), dua individu disenaraikan sebagai penerima, termasuk seorang penerima secara anumerta, manakala dua individu menerima Johan Bintang Kenyalang (J.B.K.).
Seorang individu pula menerima Johan Perkhidmatan Cemerlang (J.P.C.), sementara 17 individu dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C.).
Dalam pada itu, empat individu menerima Pingat Perwira Negeri (P.P.N.) Emas, termasuk tiga penerima secara anumerta, manakala lima individu menerima P.P.N. Gangsa, termasuk seorang penerima secara anumerta.
Senarai penerima turut merangkumi kategori Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.), Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K.), Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B.), Ahli Bintang Sarawak (A.B.S.), Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K.), Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T.) dan Bentara Bintang Sarawak (B.B.S.).
Secara keseluruhannya, penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri itu merupakan pengiktirafan terhadap jasa, sumbangan serta khidmat bakti para penerima dalam pelbagai bidang demi kemajuan dan kesejahteraan Sarawak.-EDISI UKAS