Kepelbagaian Agama, Budaya Dan Latar Belakang Kekuatan Utama Sarawak
KUCHING: Kepelbagaian agama, budaya dan latar belakang masyarakat merupakan kekuatan utama yang menyatukan rakyat Sarawak dalam membina negeri yang aman, harmoni dan makmur.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, rakyat Sarawak tidak perlu mempunyai kepercayaan dan pandangan yang sama untuk terus bersatu, sebaliknya perlu saling menghormati serta bergerak ke arah matlamat bersama.
Menurut beliau, Sarawak merupakan sebuah keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan latar belakang, dengan identiti sebagai anak Sarawak menjadi asas kebersamaan rakyat.
“Jika selama ini Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan pergi bertemu masyarakat, malam ini masyarakat pula datang bersama-sama kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan. Masyarakat Kristian, Buddha, Tao, Hindu, Sikh, Bahá'í dan komuniti agama-agama lain hadir membawa doa, penghormatan dan muhibah.
Cara kita berdoa mungkin berbeza. Tradisi dan bahasa kita juga berbeza. Tetapi malam ini, semua doa itu bertemu pada satu harapan yang sama — semoga Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan terus dikurniakan kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan kesejahteraan.,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain bersempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Yang diserikan dengan kehadiran Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Amity Hall, Kompleks UNIFOR, di sini, malam Jumaat.
Tambah beliau, keharmonian antara masyarakat berbeza agama perlu diperkukuh secara berterusan melalui hubungan baik, komunikasi terbuka dan pertemuan yang membolehkan rakyat saling mengenali serta memahami antara satu sama lain.
Sehubungan itu, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) memainkan peranan penting sebagai jambatan antara Kerajaan Sarawak dengan komuniti agama-agama lain dalam membina kepercayaan dan memastikan hubungan tersebut terus terpelihara.
Menurut beliau, keharmonian tidak seharusnya bergantung kepada individu atau majlis tertentu sahaja, sebaliknya perlu disokong oleh institusi dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak atas sumbangan dan khidmat bakti sepanjang perjalanan kehidupannya, termasuk peranan penting dalam usaha memperkukuh asas perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Majlis berkenaan turut menjadi wadah masyarakat Kristian, Buddha, Tao, Hindu, Sikh, Bahá’í dan komuniti agama-agama lain berhimpun untuk menyampaikan doa, penghormatan serta muhibah sempena sambutan hari lahir ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Pengangkutan (Laut dan Sungai) merangkap Timbalan Menteri Bertangungjawab Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain(UNIFOR), Datuk Henry Harry Jinep dan Pengarah UNIFOR, Dato' Georgina Apphia Ngau. -EDISI UKAS