Layar Cycling Carnival Tarik 165 Pelumba Dari Lapan Negara
BETONG: Layar Cycling Carnival Edisi Ke-8 Tahun 2026 berjaya menarik penyertaan 165 pelumba dari lapan negara, sekali gus mengukuhkan daya tarikan acara berbasikal berkenaan di peringkat antarabangsa.
Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola karnival, Jason Ng Boon Tuan berkata, penyertaan kali ini melibatkan 152 pelumba dari Malaysia dan 13 pelumba antarabangsa yang mewakili 28 pasukan.
Beliau berkata, pelumba antarabangsa tersebut datang dari Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Great Britain, Afrika Selatan, India dan Filipina.
“Penyertaan pelumba dari tujuh negara luar membuktikan Layar Cycling Carnival semakin mendapat perhatian dalam kalangan komuniti berbasikal antarabangsa.
“Ini sekali gus memperlihatkan potensi karnival ini untuk terus berkembang sebagai acara sukan yang mampu menarik penyertaan lebih meluas pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian karnival tersebut di Pentas Utama, Arena Futsal RTC Betong pada Jumaat.
Menurut Jason, karnival yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 30 Ogos lalu terpaksa ditangguhkan ke 9 hingga 11 Oktober berikutan keadaan jerebu ketika itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua peserta.
Beliau berkata, penganjuran karnival berkenaan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan, malah turut menjadi platform memperkenalkan Betong kepada masyarakat luar serta merancakkan ekonomi setempat.
Antara acara utama ialah Criterium Race dan Road Race sejauh 122 kilometer yang melibatkan pelbagai kategori umur serta peserta lelaki dan wanita.
Beliau berharap Layar Cycling Carnival terus berkembang sebagai acara sukan tahunan yang dinanti-nantikan, selain menjadi wadah memperkukuh hubungan persahabatan, kerjasama dan perpaduan dalam kalangan komuniti berbasikal tempatan serta antarabangsa.
Karnival berkenaan turut dimeriahkan dengan lebih 60 gerai jualan, pameran, pemeriksaan kesihatan, cabutan bertuah serta aktiviti seperti Golf Putting Challenge, wall climbing, tenis, pickleball dan sukaneka diadakan.
Majlis perasmian turut diserikan dengan persembahan kebudayaan Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Betong serta persembahan artis jemputan, Mawat dan Dino.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau, Koordinator Layar Cycling Carnival Edisi Ke-8 Tahun 2026 daripada Zassz Management Zamri Dollah, Setiausaha SABERKAS Cawangan Layar James Agat, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong TPr Moris Nayup serta ketua-ketua jabatan.- EDISI UKAS