107 Kontinjen Meriahkan Istiadat Perbarisan & Rapat Raksasa Sempena Hari Lahir Ke-80 TYT Sarawak
KUCHING: Padang Merdeka menjadi medan perhimpunan penuh bersejarah apabila sebanyak 107 kontinjen menyertai Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-80 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Sabtu.
Penyertaan kontinjen daripada pelbagai agensi, jabatan, institusi dan persatuan itu menyerlahkan semangat perpaduan, kebersamaan serta penghormatan rakyat terhadap institusi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Istiadat penuh gilang-gemilang itu dimulakan dengan upacara Hormat Diraja, disusuli pemeriksaan barisan kontinjen oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menaiki kenderaan rasmi Royal Car, diiringi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Kemuncak sambutan menyaksikan upacara memotong kek ulang tahun kelahiran ke-80 oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, sejurus selepas ucapan Premier Sarawak.
Upacara penuh simbolik itu diiringi lagu Dirgahayu Tuanku, disusuli laungan “Dirgahayu” sebanyak tiga kali sebagai tanda penghormatan serta doa kesejahteraan buat TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Kemeriahan sambutan turut diserikan dengan persembahan Karya Muzikal Naratif yang menambahkan lagi keistimewaan istiadat berkenaan.
Sambutan kemudian diteruskan dengan tayangan video khas bertajuk Ucapan Rakyat Buat Tun, yang menghimpunkan ucapan selamat ulang tahun kelahiran daripada rakyat Sarawak pelbagai kaum dan agama.
Tayangan tersebut menjadi simbol penghargaan dan kasih sayang rakyat terhadap kepimpinan TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, sekali gus mencerminkan keharmonian, perpaduan serta hubungan erat antara institusi negeri dengan masyarakat.
Istiadat diteruskan dengan acara berjalan lalu 107 kontinjen di hadapan pentas utama, diiringi persembahan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Sementara itu, pertandingan perbarisan melibatkan tujuh kategori, iaitu Penguatkuasa, Kementerian, Pejabat Pentadbiran, Jabatan, Badan Berkanun/Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)/Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Persatuan serta Anugerah Khas Kreativiti.
Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan khas finale bertajuk Nadi Sarawak, sebelum istiadat diakhiri dengan upacara Hormat Diraja.
Penganjuran istiadat berkenaan bukan sahaja menyemarakkan sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, malah menjadi manifestasi semangat perpaduan, kesetiaan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum di Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus & Ibanez Jeffery