107 Kontinjen Berentap, Tujuh Dinobat Juara Pertandingan Perbarisan
KUCHING: Tujuh kontinjen berjaya mencipta kejayaan apabila masing-masing dinobatkan sebagai juara dalam tujuh kategori pertandingan sempena Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Padang Merdeka, pada Sabtu.
Lembaga Kemajuan Bintulu mengungguli kategori Penguatkuasa, manakala Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak muncul juara kategori Kementerian.
Bagi kategori Pejabat Pentadbiran, Pentadbiran Bahagian Kapit berjaya meraih tempat pertama, sementara Jabatan Kerja Raya Sarawak dinobatkan sebagai juara kategori Jabatan.
Sarawak Water pula mengungguli kategori Badan Berkanun, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh muncul juara kategori Persatuan, manakala Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak meraih Anugerah Khas Kreativiti.
Pertandingan berkenaan menyaksikan persaingan melibatkan 107 kontinjen daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, GLC, IPT serta persatuan yang mengambil bahagian dalam istiadat berprestij itu.
Penganjuran pertandingan tersebut bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan kontinjen dari aspek disiplin, keseragaman dan kreativiti, malah menyerlahkan semangat berpasukan serta komitmen setiap organisasi dalam menjayakan sambutan berkenaan.
Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa itu merupakan antara acara utama sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, sekali gus menjadi platform memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan peserta serta masyarakat Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus & Ibanez Jeffery