'Lautan' Rakyat Warnai Sambutan Hari Lahir Ke-80 TYT Sarawak
KUCHING: Seawal jam 6 pagi, rakyat Sarawak daripada pelbagai lapisan masyarakat mula membanjiri Padang Merdeka bagi menyaksikan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Sabtu.
Kehadiran orang ramai tanpa mengira usia, kaum dan latar belakang menjadikan Padang Merdeka tumpuan utama sambutan, sekali gus menyerlahkan semangat perpaduan, kebersamaan serta penghormatan rakyat terhadap institusi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Suasana penuh meriah itu turut memperlihatkan keterujaan pengunjung yang hadir bersama keluarga untuk menyaksikan sendiri istiadat bersejarah berkenaan.
Antara yang mencuri perhatian ialah detik Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menyantuni peserta perbarisan ketika menaiki kenderaan rasmi Royal Car dengan menunjukkan isyarat tangan berbentuk hati sebagai simbol kasih sayang dan keakraban beliau dengan rakyat Sarawak.
Orang ramai turut berpeluang menyaksikan perbarisan melibatkan 107 kontinjen daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pengajian tinggi (IPT) serta persatuan.
Kemeriahan sambutan turut diserikan dengan tayangan video khas bertajuk Ucapan Rakyat Buat Tun yang menghimpunkan ucapan selamat ulang tahun kelahiran serta doa daripada rakyat Sarawak berbilang kaum dan agama.
Tayangan tersebut mencerminkan penghargaan dan kasih sayang rakyat terhadap TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, selain menyerlahkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Istiadat berkenaan bukan sekadar meraikan ulang tahun kelahiran ke-80 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, malah menjadi wadah penyatuan rakyat dalam memperkukuh semangat muhibah, perpaduan dan kebersamaan yang menjadi tunjang keharmonian Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery & Jaed Tepus