Jerebu Cetus Gesaan Autonomi Pendidikan Sarawak Diperluas
SIBU: Situasi jerebu yang melanda negara mencetuskan gesaan supaya Sarawak diberikan autonomi pendidikan lebih luas bagi membolehkan keputusan berkaitan keselamatan pelajar dan warga sekolah dibuat dengan lebih pantas berdasarkan keadaan setempat.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, pihaknya senada dengan kebimbangan Bishop Gereja Anglikan di Sarawak dan Brunei, Rt Rev Datuk Danald Jute berhubung keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) menurunkan ambang Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi penutupan sekolah daripada 200 kepada 180.
“Keselamatan pelajar, guru dan kakitangan sekolah tidak seharusnya bergantung pada wilayah mana yang terjejas.
“Isu kesihatan awam memerlukan tindakan segera dan konsisten tanpa mengira lokasi geografi,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Menurutnya, walaupun langkah berkenaan dialu-alukan, masa pelaksanaannya menimbulkan persoalan sama ada Sarawak menerima tahap perhatian dan tindakan segera yang sama ketika negeri ini mula terjejas akibat jerebu.
Beliau berkata, keputusan penutupan sekolah perlu berasaskan bukti saintifik, pertimbangan kesihatan awam serta piawaian yang jelas, memandangkan jerebu membawa risiko kesihatan khususnya kepada kanak-kanak dan komuniti sekolah.
Sehubungan itu, Kaunselor Kevin berkata isu tersebut turut menonjolkan kepentingan autonomi pendidikan lebih luas kepada Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), mengambil kira realiti geografi dan keadaan setempat negeri ini.
“Keputusan mengenai penutupan sekolah, tindak balas kecemasan dan kesinambungan pendidikan perlu mengambil kira keadaan sebenar di Sarawak, bukannya bergantung sepenuhnya pada pendekatan berpusat,” katanya.
Beliau turut mencadangkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) diberikan peranan sewajarnya dalam memudah cara keputusan berkaitan keselamatan sekolah ketika kejadian jerebu dan kecemasan lain, dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa pendidikan.
Menurutnya, autonomi pendidikan bukan bermaksud Sarawak mahu memisahkan diri daripada sistem pendidikan kebangsaan, sebaliknya memastikan keputusan yang memberi kesan kepada negeri ini dibuat oleh pihak yang memahami keperluan dan keadaan tempatan.- EDISI UKAS