Ketersediaan Sumber Air Beri Sarawak Kelebihan Penuhi Keperluan Sistem Penyejukan Pusat Data
KUCHING: Ketersediaan sumber air memberikan Sarawak kelebihan dalam memenuhi keperluan sistem penyejukan pusat data, selain keupayaan membekalkan tenaga elektrik bersih untuk menyokong operasi industri berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, selain digunakan untuk menjana tenaga elektrik bersih, sumber air turut diperlukan bagi sistem penyejukan pusat data, sekali gus memberikan Sarawak kelebihan berbanding kawasan lain di negara ini.
“Sarawak juga dikurniakan oleh Allah dengan sumber air yang begitu banyak yang digunakan untuk menjana kuasa elektrik yang bersih yang menjadi sebahagian daripada kekuatan ekonomi Sarawak yang tidak terdapat di kawasan-kawasan lain.
“Selain digunakan untuk menjana kuasa elektrik, sumber yang banyak juga amat diperlukan untuk sistem penyejukan pusat data dan jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain di negara ini, Sarawak juga mempunyai kelebihan dari segi menyediakan bekalan air untuk pusat-pusat data,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Majlis Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, di Padang Merdeka di sini, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Premier Sarawak menegaskan bahawa pembangunan sumber manusia serta kelestarian sumber dan alam sekitar akan menjadi elemen penting dalam memastikan kekuatan sumber asli negeri dapat dimanfaatkan bersama kemajuan teknologi.
“Saya amat yakin kekuatan sumber asli dan tenaga ini jika digabungkan dengan teknologi, penyelidikan, inovasi, dan kepakaran dengan penekanan terhadap pembangunan sumber manusia dan kelestarian sumber dan alam sekitar, Sarawak akan muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi baharu di rantau ini menjelang 2030, insya-Allah,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Sarawak turut memberi tumpuan kepada sektor semikonduktor, pembuatan termaju, tenaga hijau, pengeluaran hidrogen dan metanol, kecerdasan buatan (AI), industri angkasa serta pertanian dan pembuatan makanan.
Menurut beliau, sektor-sektor berkenaan akan menjadi antara bidang yang membentuk hala tuju ekonomi Sarawak pada masa hadapan.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri-Menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri serta dif-dif kenamaan yang lain. -EDISI UKAS