Lima Petugas FDS Tersenarai Terima P.B.S. Secara Anumerta
KUCHING: Lima petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, pada 8 September lalu tersenarai sebagai penerima Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.) secara anumerta sempena Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sarawak Tahun 2026.
Mereka ialah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamaruddin, mendiang Alexson Adit Henry, mendiang Debra Moset dan mendiang Jessie Paya Jok.
Penganugerahan itu merupakan pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan kelima-lima petugas berkenaan ketika menjalankan tanggungjawab memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan pedalaman Sarawak.
Perkhidmatan FDS memainkan peranan penting dalam membantu penduduk di kawasan terpencil mendapatkan akses kepada rawatan perubatan, terutama komuniti yang berdepan kekangan geografi dan jarak perjalanan ke kemudahan kesihatan.
Pengiktirafan berkenaan diberikan sempena Sambutan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. -Edisi UKAS