SHEDA Bintulu 2026 Tampil 33 Reruai Pameran Hartanah
BINTULU: Sebanyak 33 reruai memeriahkan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Bintulu Home & Property Roadshow 2026 yang berlangsung di Boulevard Shopping Mall, di sini, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pameran itu menjadi platform kepada pengunjung untuk berinteraksi secara langsung dengan pempamer serta mengetahui perkembangan pasaran hartanah tempatan dan industri berkaitan.
“Pameran ini menampilkan 33 reruai yang mempamerkan pelbagai projek pembangunan hartanah, selain peralatan elektrik dan produk berkaitan.
“Ini sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung,” katanya ketika melawat pameran berkenaan.
Menurut Johnny, pasukan khidmatnya turut menyediakan kaunter bergerak Pusat Khidmat Rakyat di lokasi pameran bagi membantu orang ramai dalam urusan permohonan, pendaftaran dan pertanyaan.
Orang ramai dialu-alukan mengunjungi pameran yang berlangsung sehingga 11 Oktober (Ahad), bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, di aras bawah pusat beli belah berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek hartanah serta perkhidmatan yang disediakan.- EDISI UKAS