Program Putra Bakti Perkasa Bakat, Sahsiah Generasi Muda Bintulu
BINTULU: Program Putra Bakti: Mega Youth Explorer Bintulu 2026 menjadi platform memperkasa potensi generasi muda menerusi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pembentukan sahsiah serta pendedahan kepada pertanian moden.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, program seumpama itu penting dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran, nilai murni dan semangat berkhidmat kepada masyarakat.
Menurut beliau, pembangunan bakat muda dalam bidang sains, teknologi dan inovasi amat penting sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk memacu pembangunan Sarawak.
“Dengan perkembangan Bintulu sebagai pusat perindustrian dan tenaga hijau, kita memerlukan lebih ramai anak muda yang mahir dalam sains, teknologi dan inovasi,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian program berkenaan pada Sabtu.
Johnny Pang menambah, generasi muda perlu didedahkan kepada penggunaan teknologi serta digalakkan menghasilkan inovasi baharu yang dapat menyumbang kepada pembangunan negeri.
Program anjuran Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) itu turut memberi penekanan kepada kempen antiperbuatan buli, pembentukan sahsiah, pembelajaran STEM menerusi aktiviti praktikal serta pertanian moden dan kelestarian alam sekitar.
Beliau menegaskan, pembentukan sahsiah perlu bergerak seiring dengan penguasaan ilmu dan teknologi bagi memastikan generasi muda memiliki disiplin, sikap prihatin serta menghormati antara satu sama lain.
Menurutnya, kesedaran mengenai kesan perbuatan buli, termasuk melalui media sosial, penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan harmoni.
Dalam aspek pertanian, beliau berkata, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), dron dan bioteknologi berpotensi meningkatkan kecekapan pengeluaran serta menyokong usaha memperkukuh jaminan bekalan makanan.
Justeru, beliau berharap pendedahan menerusi program itu dapat membuka minda pelajar terhadap peluang dalam bidang pertanian moden, merangkumi sains, teknologi, perniagaan dan inovasi.
Beliau turut menggalakkan mahasiswa UPMS memanfaatkan program berkenaan untuk membina kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial. -EDISI UKAS