Ekopelancongan Jana Pendapatan Baharu Penduduk Luar Bandar
LUNDU: Pembangunan ekopelancongan bakal menjadi tumpuan baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar mulai tahun hadapan, dengan potensi hutan, pergunungan dan air terjun dimanfaatkan bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta sumber pendapatan kepada komuniti luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, setelah pelbagai kemudahan infrastruktur asas disediakan di kebanyakan kampung, tumpuan pembangunan seterusnya perlu beralih kepada aktiviti ekonomi yang mampu memberikan manfaat secara langsung kepada penduduk.
Menurut beliau, kawasan Opar memiliki khazanah alam semula jadi yang berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan berasaskan komuniti, termasuk laluan pendakian, air terjun dan landskap pergunungan yang masih terpelihara.
“Sehubungan itu, kita mahu melihat bagaimana potensi ini dapat dimanfaatkan untuk menjana pendapatan penduduk, termasuk melalui penyediaan inap desa, perkhidmatan pemandu pelancong dan penjualan makanan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Hutan Simpan Kekal Melalui Penglibatan Komuniti dalam Ekopelancongan dan Konservasi di CENTEXS Lundu, pada Sabtu.
Billy berkata, perancangan pembangunan inap desa di kawasan yang dikenal pasti berpotensi merupakan antara usaha yang boleh diteroka bagi membolehkan penduduk mengambil bahagian secara langsung dalam industri pelancongan.
Bagaimanapun, katanya, peluang tersebut perlu disokong dengan latihan dan peningkatan kemahiran masyarakat, khususnya golongan belia, dalam aspek pengurusan pelancongan, pemanduan aktiviti pendakian serta pertolongan cemas bagi memastikan keselamatan pengunjung.
Beliau turut menggalakkan kerjasama antara komuniti, agensi kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti potensi setiap kampung serta merangka program pembangunan yang bersesuaian dengan keperluan setempat.
Dalam usaha membangunkan sektor itu, Billy menegaskan bahawa pemeliharaan alam sekitar perlu kekal sebagai keutamaan supaya aktiviti pelancongan tidak menjejaskan kelestarian hutan dan biodiversiti.
Menurutnya, masyarakat setempat turut memainkan peranan penting dalam melindungi khazanah alam, termasuk melaporkan kegiatan yang boleh mengancam kawasan hutan kepada pihak berkuasa.
“Pemeliharaan hutan merupakan tanggungjawab kita bersama,” katanya sambil menekankan kepentingan memastikan sumber semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Hadir sama, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail dan wakil Jabatan Hutan Sarawak, Dr Ahmad Ampeng. -EDISI UKAS