Projek Naik Taraf Sistem Perparitan Kampung Luak 4 Capai Kemajuan 95 Peratus
MIRI: Projek menaik taraf sistem perparitan di Lorong Jalan Kampung Luak 4 kini mencapai kemajuan 95 peratus dengan menggunakan peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 berjumlah RM100,000.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, projek itu bertujuan meningkatkan keupayaan sistem perparitan sedia ada bagi memastikan aliran air lebih lancar serta mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
“Sistem perparitan dan kemudahan infrastruktur merupakan aspek penting yang berkait rapat dengan kehidupan harian penduduk.
“Masalah seperti longkang yang usang, tersumbat atau tidak mempunyai kapasiti saliran yang mencukupi boleh menyebabkan air bertakung dan seterusnya mengakibatkan banjir ketika hujan lebat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek tersebut pada baru-baru ini.
Datuk Sebastian menjelaskan, peruntukan RTP bukan sahaja bertujuan melaksanakan projek pembangunan berskala besar, malah perlu dimanfaatkan untuk menangani keperluan sebenar masyarakat di peringkat akar umbi.
Katanya, penambahbaikan kemudahan asas secara berperingkat dapat membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selamat dan selesa.
Sehubungan itu, Datuk Sebastian berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan, selain memastikan sistem perparitan yang dinaik taraf dapat berfungsi dengan berkesan untuk jangka panjang.
Ujarnya, pemantauan berterusan oleh semua pihak berkaitan penting bagi memastikan peruntukan yang disalurkan digunakan secara berkesan untuk menambah baik infrastruktur tempatan.
Menurut beliau lagi, keperluan masyarakat akan terus diberi perhatian melalui peruntukan RTP, termasuk bagi pelaksanaan projek menaik taraf jalan raya, sistem perparitan, taman rekreasi dan kemudahan awam lain secara berperingkat. -EDISI UKAS